Kerjasama UMNO-Pas rampas Perak

No Image Caption
A
A
A

SUASANA politik di Perak nampaknya tidak tenang sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan pada PRU14.

Ia berlaku memandangkan perselisihan faham antara parti-parti komponen dalam PH.

Keadaan ini menjadi semakin ‘panas’ lagi sejak akhir-akhir ini apabila dikhabarkan UMNO-Pas akan bergabung tenaga merampas pentadbiran kerajaan Perak ini.

Apakah benar kerajaan negeri Perak pimpinan menteri besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sudah semakin goyah?

Menurut analisis Sin Chew Daily, sejak UMNO dan Pas secara rasmi mengadakan kerjasama, secara langsung kedudukan PH Perak pun turut tidak stabil.

Difahamkan, PH Perak tidak mungkin akan kehilangan kuasa pada tempoh terdekat ini, bagaimanapun, kekuatan hasil kerjasama antara UMNO dengan Pas ini sememangnya tidak boleh dipandang rendah.

Akhbar ini menulis, sekiranya kedua-dua parti ini terus mengukuhkan kerjasama mereka sehingga PRU akan datang, tidak mustahil dua parti pembangkang ini dapat membentuk kerajaan yang baharu di Perak.

Pada PRU14, BN (UMNO) memenangi 27 daripada 59 kerusi DUN Perak.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya UMNO dan Pas memperkemaskan kerjasama mereka, PH sememangnya dalam keadaan yang bahaya.

Akhbar ini berkata, sekiranya UMNO dan Pas dapat mencapai persetujuan dari segi pengagihan kerusi antara mereka di samping dapat memperoleh sokongan daripada undi Melayu, sudah pasti banyak kerusi majoriti Melayu yang dimenangi PH pada PRU lalu akan dimenangi oleh UMNO-Pas.

“Terdapat enam kerusi yang dimenangi Amanah dan dua kerusi dimenangi PKR kemungkinan boleh dirampas semula oleh UMNO-Pas.

Sekiranya PH hilang kesemua tujuh kerusi ini, UMNO-Pas sudah semestinya akan membentuk kerajaan baharu pada PRU akan datang,” tulis akhbar ini.

Pada PRU lalu, enam kerusi yang dimenangi Amanah ialah Manjoi, Sungai Rapat, Titi Serong, Behrang, Kamunting dan Pasir Panjang dan dua kerusi milik PKR ialah Kuala Kurau dan Ulu Kinta.

Kesemua lapan kerusi yang dimenangi PH ini hanya kemenangan tipis dengan majoriti antara 140 hingga 3,713 undi.

Buat ketika ini, PH mempunyai 30 kerusi, iaitu DAP (18), PKR (4), Amanah (6) dan Bersatu (2). Manakala bagi pihak pembangkang, UMNO mempunyai 25 kerusi dan Pas, 3.

Pada Mei tahun lalu, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengisytiharkan keluar UMNO dan menyertai Bersatu manakala ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi turut mengambil langkah yang sama dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan PH.

Akibat jumlah perbezaan kerusi milik antara PH dan pembangkang begitu kecil, ini mendorong ramai orang percaya politik Perak semakin menarik sehingga yakin pasti berlaku pengalihan kuasa pada bila-bila masa.

Sepanjang bulan lepas, pelbagai khabar angin telah kedengaran sehingga Ahmad Faizal terpaksa tampil menjelaskan kedudukan sebenar bahawa kedudukan beliau sebagai menteri besar masih kukuh dan pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa.

Menurut akhbar ini lagi, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang bertegas mahu pertukaran Exco kerajaan negeri dilakukan menambahkan persengketaan antara ahli dalam PKR.

“Difahamkan, exco yang dikatakan untuk ditukar ialah ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari. Kedudukan beliau difahamkan akan diambil alih oleh ADUN Ulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad atau ADUN Teja, Ng Shy Ching,” kata akhbar ini lagi.

Dalam pada itu, kenyataan Ahmad Faizal baru-baru ini yang mengingatkan exco kerajaan negeri supaya merujuk beliau sebelum memberikan sebarang kenyataan berkaitan kerajaan negeri menguatkan lagi teka-teki sememangnya wujud masalah dalaman antara barisan exco dengan beliau.

Akhbar ini berpendapat, kenyataan menteri besar Perak ini perlulah dipandang serius walaupun sebelum ini beliau telah menafikan ada komplot menjatuhkan kepimpinannya.

Perkembangan politik biarpun dilihat dari luar agak tenang, namun sekiranya masalah dalaman ini tidak dapat diselesaikan dengan baik, tidak mustahil UMNO-Pas akan dapat mengambil kesempatan daripada kepincangan PH ini. Sekiranya UMNO-Pas berjaya merampas tampuk pemerintahan kerajaan negeri Perak pada PRU15, ia bukanlah berita yang mengejutkan!