Warga emas menggigil kesejukan, rumah dilanda ribut

Keadaan bumbung sebuah rumah penduduk yang diterbangkan ribut di Jalan Masjid Baroh pada awal pagi Rabu. Gambar kecil: Md Fathi
Keadaan bumbung sebuah rumah penduduk yang diterbangkan ribut di Jalan Masjid Baroh pada awal pagi Rabu. Gambar kecil: Md Fathi
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang wanita warga emas terpaksa menahan kesejukan apabila bumbung rumahnya di Jalan Masjid Baroh di sini diterbangkan ribut pada awal pagi Rabu.

Anaknya, Md Fathi Hairullah, 42, berkata, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu bumbung bilik emaknya, Siti Salimah Ibrahim, 82, tercabut.

"Pada mulanya, ketika mahu ke tandas saya terdengar bunyi kuat zink bumbung seakan-akan terangkat.

"Sebaik keluar dari tandas, saya nampak kelibat emak saya yang menggigil kesejukan dan memaklumkan bumbung bilik tidurnya sudah tercabut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Md Fathi berkata, sejurus naik ke tingkat dua rumah itu, dia mendapati air hujan mencurah masuk ke dalam bilik emaknya.

"Pada masa itu, saya hanya memikirkan keselamatan emak lebih-lebih lagi dia dalam keadaan kesejukan," katanya.

Katanya, rumah didiaminya bersama ibu bapanya, adik perempuan serta anak saudara mengalami kerosakan di dua bilik tidur termasuk ruang tamu di tingkat atas apabila bumbung tercabut selepas diterbangkan angin kuat.

"Mujur semua dalam keadaan selamat dan empat daripada kami berada di tingkat atas, manakala ayah yang berusia 89 tahun tidur di bilik bawah," ujarnya.

Md Fathi berkata, angin kuat itu dipercayai datang secara tiba-tiba dan berlaku kira-kira dua jam sebelum kembali reda.

"Kejadian ini kali kedua berlaku dan paling teruk pernah dialami hingga bumbung terangkat yang mana kali pertama berlaku pada 2019," katanya.

Tambahnya, lebih memilukan apabila bumbung rumahnya itu baharu sahaja diganti pada tahun lalu.

"Tidak sangka pula keadaan teruk sebegini dan berharap tidak hujan kerana masih belum sempat baik pulih bumbung rumah," katanya.

Sementara itu, beberapa kawasan sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan mengalami kejadian ribut dan angin kencang hingga menjejaskan beberapa kediaman pada Rabu.