Dakwa jasa tidak dihargai, veteran ATM adakan himpunan aman 6 Jun

Sidang akhbar berkenaan himpunan aman veteran ATM yang akan diadakan pada 6 Jun di ibu negara.
Sidang akhbar berkenaan himpunan aman veteran ATM yang akan diadakan pada 6 Jun di ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dianggarkan 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan perhimpunan aman di ibu negara pada 6 Jun depan.

Pengerusi Perhimpunan Aman Veteran ATM, Datuk Abdul Rahman Husain berkata, himpunan itu juga akan diadakan secara serentak di semua negeri bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan yang didakwa tidak menjaga kebajikan tentera berpencen, tidak berpencen dan diberhentikan.

Menurutnya, kebajikan kumpulan itu telah diperjuangkan selama lapan tahun namun sehingga kini empat tuntutan yang dikemukakan tiada jawapan daripada kerajaan.

"Setelah hampir lapan tahun wakil persatuan berbincang dengan kerajaan, namun tiada keputusan maka kami di peringkat bawahan mahu menunjukkan yang kami mampu bersatu dan membawa kes kami ke mahkamah.

"Kami akan terus perjuangkan hak kami sehingga suara kami didengar oleh kerajaan. Kami tidak minta lebih, kami mahu kerajaan berikan hak kami seperti yang termaktub dalam peruntukan undang-undang," katanya pada sidang akhbar himpunan aman veteran ATM di Bilik Mesyuarat Masjid Al-Ansar Taman Keramat pada Rabu.

Jelasnya, empat perkara yang diperjuangkan sejak 2014 adalah memohon Majlis Angkatan Tentera (MAT) melaksanakan penyelarasan pencen bagi veteran yang bersara sebelum 2004 dan 2013 berdasarkan kuasa yang ada pada MAT mengikut Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera dan peraturan-peraturan pencen serta faedah-faedah lain di bawahnya.

Abdul Rahman (tiga dari kanan) pada sidang akhbar mengenai himpunan aman veteran ATM yang akan diadakan pada 6 Jun di ibu negara.
Abdul Rahman (tiga dari kanan) pada sidang akhbar mengenai himpunan aman veteran ATM yang akan diadakan pada 6 Jun di ibu negara.

"Kedua, memohon MAT memberi pertimbangan supaya anggota tentera diberi hak yang sama seperti penjawat awam lain iaitu diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan.

"Ketiga, memohon MAT menubuhkan satu Lembaga Pengampunan dengan meringankan hukuman segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan pegawai atasan bagi mereka yang layak.

"Keempat, memohon MAT mengkaji semula veteran yang cedera ketika perang, semasa bertugas atau cedera disebabkan tugas berat semasa perkhidmatan diberi rawatan di Pusat Hospitaliti Tentera Udara (PHU) dan 'Layan Sentiasa' seperti yang diberi oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans selain insurans kelompok yang dibayar sendiri oleh anggota tentera," katanya.

Sementara itu, penasihat undang-undang veteran ATM, Mejar Mior Rosli Mior Jaafar meluahkan rasa kecewa apabila pengorbanan veteran tentera khususnya yang menjaga negara ketika zaman darurat dan komunis tidak dihargai.

Jelasnya, hak tentera lama dinafikan sebaliknya manfaat tersebut hanya dirasai oleh anggota yang masuk selepas mereka.

"Kami terpanggil (untuk pertahankan hak) apabila ada bekas tentera yang duduk di bawah jambatan. Dengan pencen RM400 apa yang kami boleh makan.

"Dahulu kita berjuang mempertahankan negara, orang cakap siapa suruh masuk askar tapi kalau kita tak masuk ketika itu, tak ada orang nak masuk (askar).

"Tentera masuk hutan tak balik (rumah) ada yang putus kaki dan tangan namun apa balasan daripada kerajaan kepada kami," soalnya.