'Debat bukan mencari siapa menang, kalah'

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Debat membabitkan dua calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli bukanlah platform untuk mencari siapa yang menang atau kalah kerana kedua-duanya berkongsi idealisme dan platform yang sama.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, walaupun suasana latar belakangnya menghidangkan satu keadaan yang serba sukar, namun pada akhirnya mereka akan tetap bersama.

Malah, beliau turut mempunyai keyakinan kuat bahawa selesai sahaja pemilihan parti, mereka akan berganding bahu bergerak sebagai satu pasukan untuk mempersiapkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) mendepani Pilihan Raya Umum ke-15.

“Debat ini bukan bertujuan untuk mencari siapa menang dan siapa yang kalah. Saya tidak fikir rasional itu patut menjadi ukuran sebab saya yakin, saya dan Rafizi komited dengan agenda reformasi. Kami juga berkongsi dengan idealisme yang sama dan memilih platform parti yang sama yang terasnya inklusif dengan kepelbagaian dan jaminan keadilan untuk semua.

“Saya yakin kedua kami menjunjung nilai-nilai demokrasi dan komited dalam memperjuangkan agenda reformasi.

“Dengan panduan itu, saya berpendapat bahawa Pemilihan PKR ini adalah satu proses untuk memulangkan kembali hak mandat demokrasi kepada anggota parti untuk membuat keputusan bagi mengisi kekosongan jawatan-jawatan yang ada sejak Februari 2020, akibat peristiwa pengkhianatan Langkah Sheraton,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Program itu turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden iaitu Rafizi Ramli dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Saifuddin turut menegaskan, pemilihan kali ini tidak akan mencarikkan sama sekali persahabatan dan ukhuwah mereka dan tentunya tidak akan sama sekali mengulangi kebimbangan peristiwa 2018 yang menyebabkan maruah parti sedikit sebanyak tercalar.

“Kami tegaskan sebagai parti reformasi dan parti demokratik, PKR tidak akan sama sekali menggunakan alasan takut perpecahan membawa mudarat kepada parti menjelang pilihan raya, sebaliknya kami sangat menghormati hak anggota parti kepada pimpinan,” jelasnya.