LAP naik taraf saluran paip atasi gangguan air

Penduduk di Mukim Kota Setia mengambil air yang dibekalkan LAP setelah mengalami gangguan air sejak seminggu lalu.- Foto ihsan pembaca
Penduduk di Mukim Kota Setia mengambil air yang dibekalkan LAP setelah mengalami gangguan air sejak seminggu lalu.- Foto ihsan pembaca
A
A
A

PASIR SALAK - Lembaga Air Perak (LAP) dalam proses menaik taraf saluran paip utama bagi mengatasi masalah bekalan air yang berlaku di kawasan Hujung Rintis, Mukim Kota Setia di sini.

Dalam satu kenyataan, LAP memberitahu, kerja-kerja yang dijangka siap pada penghujung tahun 2022 itu dapat mempertingkatkan kadar aliran ke kawasan terbabit.

Menurut LAP, pihaknya mengenal pasti gangguan bekalan air di mukim terbabit berpunca daripada penggunaan air yang tinggi ketika musim perayaan.

"LAP telah menerima aduan gangguan bekalan pada 3 Mei lalu dan LAP telah menggerakkan sebuah lori tangki pada hari tersebut bagi membantu penduduk yang terlibat.

"Pada hari berikutnya, tiga buah lori tangki digerakkan. Jumlah akaun terlibat sebanyak 100," katanya di sini pada Rabu.

Katanya, siasatan pada Selasa mendapati tekanan air masih rendah untuk penduduk menerima bekalan air paip.

"Selain bantuan tiga lori tangki air digerakkan ke kawasan terjejas, LAP juga sedang berusaha untuk meningkatkan aliran air ke kawasan terlibat melalui pengezonan semula kawasan bekalan supaya tekanan dapat ditingkatkan dalam tempoh yang lebih cepat.

"Usaha-usaha juga sedang dilaksanakan bagi mengenalpasti sama ada terdapat kebocoran yang sukar dikesan berlaku pada sistem agihan di kawasan tersebut," katanya.

Media melaporkan penduduk dari enam kampung di Mukim Kota Setia terputus bekalan air sejak hari raya pertama, minggu lalu.

Masalah itu sering berlaku setiap kali musim perayaan akibat tekanan air rendah selain penggunaan yang tinggi.

Selain mendapatkan bekalan daripada lori tangki milik LAP, penduduk turut membeli air di kedai untuk memasak.