Bayi enam bulan maut, ibu parah ditetak

Bayi enam bulan maut dalam kejadian tetak di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan.
Bayi enam bulan maut dalam kejadian tetak di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan.
A
A
A

KINABATANGAN - [DIKEMAS KINI] Bayi enam bulan maut manakala ibunya parah akibat ditetak dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan di sini, pada Selasa.

Kejadian berlaku pada jam 10 pagi namun hanya dilaporkan oleh orang awam menerusi panggilan kepada pihak polis menerusi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, pada jam 2.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Ketika tiba di loaksi kejadian, bayi perempuan terbabit telah meninggal dunia akibat tetakan di bahagian kepala.

"Ibunya yang berusia 35 tahun juga cedera akibat tetakan di bahagian belakang tengkuk dan telinga kiri serta hampir putus. Mangsa dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Katanya lagi, suspek merupakan bapa saudara kepada mangsa wanita berkenaan dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Suspek ditahan reman oleh pihak polis.
Suspek ditahan reman oleh pihak polis.

"Pasukan polis berjaya mengesan dan menangkap suspek di sebuah kebun sawit di lokasi yang sama dan turut merampas parang yang dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa.

"Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an di bawa ke IPD Kinabatangan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Dzulbaharin turut memohon kerjasama orang ramai yang mengenali Ismail Santaro dan Ana Farhana Musa yang merupakan saksi bagi kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Sandakan untuk memaklumkan kepada pihak polis.

"Kita mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua saksi ini untuk memaklumkan kepada Bilik Gerakan IPD Kinabatangan di talian 089-561890 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kinabatangan Asisten Superintendan Razali Basa di talian 019-6217357," katanya.