'Saya pun nak dengar debat Najib-Anwar'

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak mahu ketinggalan menonton Program Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal berlangsung esok.

Beliau menyifatkan, kedua-dua pemimpin itu mempunyai idea dan hujah sendiri.

"Saya pun nak dengar (debat antara Najib dan Anwar)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap soalan media yang meminta sekiranya beliau mempunyai sebarang nasihat sempena program debat tersebut.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan tiada keperluan untuk beliau memberikan sebarang nasihat.

"Saya tak boleh nak nasihat mereka, lantak merekalah. Dia (Najib dan Anwar) nak cakap, biarlah dia cakap.

"Masing-masing ada idea... ada 'point'... saya nak nasihat Datuk Seri Najib, Datuk Seri Anwar dan saya siapa?" katanya.

Program Debat Perdana tersebut akan berlangsung di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) pada jam 9 malam dan akan disiarkan secara langsung oleh media rasmi melalui saluran TV dan media sosial.

Media sebelum ini melaporkan kedua-dua pemimpin itu saling mencabar antara satu sama lain untuk merungkai mengenai isu Sapura Energy Berhad (SEB) yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).