RoS tiada kuasa halang UMNO pinda perlembagaan parti

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti itu.

Mohamad berkata, beliau yakin tiada masalah untuk RoS meluluskan pindaan perlembagaan UMNO bagi memasukkan penangguhan pemilihan parti selama enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

"RoS tidak sepatutnya ada halangan. RoS tak boleh kuasai parti. RoS hanya pantau sama ada kita ikut perlembagaan atau tidak.

"Jadi saya tak rasa ada apa-apa halangan daripada RoS untuk luluskan pindaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.

Jelas Mohamad, mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan diadakan pada Ahad ini dan permohonan pindaan akan dihantar ke Ros pada 17 Mei ini.

Katanya, pindaan tersebut juga penting memastikan tidak berlaku perpecahan dalam UMNO sebelum PRU.

"Dalam pemilihan parti memang akan ada perpecahan jadi kami tak mahu parti pecah-belah sebelum PRU.

"Penting untuk memastikan semua dalam parti bekerjasama demi kemenangan UMNO pada PRU15," katanya.