Remaja lemas di Keningau ditemukan di Beaufort

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan selanjutnya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan selanjutnya.
A
A
A

BEAUFORT - Remaja lelaki yang dilaporkan lemas ketika mandi di sungai Kampung Durok Baru, Keningau pada Sabtu lalu ditemui dalam keadaan terapung di Sungai Padas Kampung Labi Gadong di sini pada Selasa.

Mayat mangsa, Al Sharil, 16, ditemui oleh orang awam kira-kira sejauh lebih 100 kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang Selasa.

Menurutnya, seramai empat anggota BBP Beaufort dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 15 kilometer dari balai.

"Anggota bomba kemudian membantu mengangkat mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Beaufort untuk tujuan pengecaman dan operasi ditamatkan pada jam 8.55 malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Pagalan bersama keluarganya di Kampung Baru Durok, Keningau.