Pengiktirafan MBOR kerana derma darah 632 kali

Chin Yap telah menderma darah sebanyak 632 kali hingga membolehkan beliau diiktiraf sebagai penderma darah aferesis terbanyak oleh MBOR. (Foto dikongsi oleh MBOR di Facebook).
Chin Yap telah menderma darah sebanyak 632 kali hingga membolehkan beliau diiktiraf sebagai penderma darah aferesis terbanyak oleh MBOR. (Foto dikongsi oleh MBOR di Facebook).
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia, Liew Chin Yap baru-baru ini menerima pengiktirafan sebagai penderma darah aferesis terbanyak oleh The Malaysian Book of Records (MBOR).

Pusat Darah Negara (PDN) menerusi hantaran di Facebook pada Selasa memaklumkan, sehingga 18 April yang lalu, beliau telah menderma darah sebanyak 632 kali.

“Beliau mula menderma darah buat pertama kalinya apabila mengikut adiknya ke satu kempen derma darah pada tahun 1992.

“Sehingga kini, beliau masih setia menjalankan tanggungjawab sosial sebagai penderma darah.

“Mengetahui tentang keperluan darah untuk pesakit hanya boleh diperolehi melalui pendermaan darah, ia menjadi inspirasi untuk beliau terus menderma darah secara konsisten selama tiga dekad ini,” katanya.

PDN turut mengucapkan tahniah kepada Chin Yap atas usahanya menyelamatkan ratusan dan mungkin ribuan nyawa pesakit.

“Sekali lagi, Pusat Darah Negara ingin mengucapkan tahniah kepada Chin Yap kerana menjadi insan yang paling pemurah yang telah menyelamatkan ratusan dan mungkin ribuan nyawa pesakit.

“Pusat Darah Negara juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu Chin Yap mendapatkan pengiktirafan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, MBOR dalam hantaran di Facebook turut berharap agar pengiktirafan tersebut akan menginspirasikan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menderma darah.

“Pengiktirafan yang sewajarnya atas sumbangan anda, kami berharap anugerah ini akan membantu anda bagi memberi inspirasi dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk membantu menyelamatkan nyawa dengan menderma darah,” katanya.