Peratusan pornografi bukan kajian akademik: MAP

A
A

SHAH ALAM - Malaysians Against Pornography (MAP) mengakui kenyataannya berkenaan peratusan kanak-kanak yang menonton pornografi secara sengaja baru-baru ini, bukan daripada kajian akademik.

MAP dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya ia adalah berdasarkan dapatan daripada maklumbalas beberapa program yang dilaksanakan NGO itu.

"MAP menzahirkan kekesalan di atas kesilapan teknikal satu kenyataan yang tertulis dalam laporan berita baru-baru ini.

"Kenyataan yang diberikan oleh Pengerusi MAP, Dr Shamsuriani Md Jamal merupakan dapatan daripada maklumbalas beberapa program yang telah kami laksanakan dan bukanlah daripada kajian akademik kerana kami maklum bahawa kajian akademik memerlukan beberapa tuntutan yang perlu dipenuhi.

"MAP berharap isu ini tidak diperbesarkan dan meminta kerjasama pihak media untuk membetulkan semula berita berkenaan," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Bernama melaporkan, kajian MAP pada 2018 mendedahkan data amat mengejutkan iaitu kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja.

Sementara hampir 89 peratus daripada kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun menjadi mangsa antun dalam talian.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam maklumbalasnya meminta MAP memberikan pencerahan mengenai metodologi kajiannya.

ARTIKEL BERKAITAN: MAP perlu perjelas metodologi kajian: TPM

Dalam pada itu, MAP menjelaskan, pihaknya telah melaksanakan lebih 30 program sejak dua tahun lepas melibatkan lebih 20,000 orang peserta di seluruh negara bagi mendidik masyarakat tentang bahaya pornografi .

"Antara program yang telah dianjurkan seperti forum, ceramah dan seminar yang dilaksanakan di sekolah, kolej dan persatuan penduduk. Kami juga menghasilkan video yang mendidik masyarakat berkaitan isu pornografi dan pendidikan seksualiti.

"MAP berharap masyarakat memandang bahaya pornografi ini sebagai masalah sosial yang berleluasa dan perlu dibendung," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia