Menanti janji DBKL selesaikan masalah banjir

DBKL tampil dengan 14 tindakan khusus bagi menangani segera masalah banjir kilat di 25 kawasan hotspot yang dikenal pasti. - Gambar hiasan
DBKL tampil dengan 14 tindakan khusus bagi menangani segera masalah banjir kilat di 25 kawasan hotspot yang dikenal pasti. - Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP kali hujan lebat melanda, warga Lembah Klang memang tidak senang duduk dan sentiasa bimbang kalau banjir kilat berlaku. Banjir kilat akan menyebabkan pelbagai kesulitan kepada rakyat. Jalan menjadi sesak luar biasa, perniagaan mengalami kerugian dan banyak kenderaan rosak teruk.

Warga kota sudah jelak dan bosan dengan masalah tersebut dan mahu tindakan yang lebih konkrit diambil dengan segera.

Ramai juga yang mempersoalkan tentang usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan yang nampaknya tidak memberikan sebarang kesan bagi mengatasi masalah tersebut.

Terbaharu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil dengan 14 tindakan khusus bagi menangani segera masalah banjir kilat di 25 kawasan hotspot yang dikenal pasti.

Rancangan itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan hingga Julai depan melalui Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Antara tindakan yang akan diambil ialah memastikan saluran keluar air larian ke longkang tepi jalan, tidak tersumbat atau terhalang. Kerja pemantauan dan pembersihan ini akan dilakukan setiap hari oleh pasukan khas DBKL.

Seterusnya, DBKL akan menaik taraf saluran masuk air di semua kawasan hotspot, meliputi melebarkannya antara satu hingga dua kaki mengikut keperluan, membaik pulih serta memastikan kecerunan saluran dalam keadaan memuaskan.

Tindakan lain termasuk menempatkan bilangan jentera dan petugas mencukupi di lokasi hotspot; mengenal pasti laluan lencongan yang perlu dibina serta-merta bagi mengelakkan kenderaan terperangkap dalam banjir.

Menjadikan aktiviti plogging sebagai aktiviti rutin; menambah kawasan Zon Bebas Sampah di Kuala Lumpur; dan mengeluarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) amaran banjir kilat kepada semua pemilik telefon bimbit yang berada dalam kawasan ibu kota.

Bagi langkah penyelesaian jangka panjang pula, DBKL melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi melaksanakan kajian berkaitan selama 12 bulan dan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

Justeru itu, kita semua menanti dengan penuh sabar sama ada perancangan yang bakal dilaksanakan itu akan dapat mengatasi masalah banjir kilat di ibu kota.