Kebocoran angkup brek hidraulik punca LRT Kelana Jaya tergendala

Penumpang yang terjejas layak mendapat baucer bayaran balik perjalanan satu hala di mana-mana kaunter stesen LRT.
Penumpang yang terjejas layak mendapat baucer bayaran balik perjalanan satu hala di mana-mana kaunter stesen LRT.
A
A
A

PETALING JAYA - Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang tergendala lebih empat dan menjejaskan kira-kira 12,000 penumpang pagi Selasa disebabkan tren terkandas kerana mengalami kebocoran angkup (caliper) brek hidraulik.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan berkata, kebocoran tersebut menyebabkan cakera brek tidak boleh dilepaskan dan perlu dilakukan secara manual oleh pasukan penyenggara.

"Kami ingin meminta maaf kepada penumpang kami atas kelewatan dialami mereka pagi ini, yang menjejaskan rutin pekerjaan mereka.

"Kami amat kesal atas kesulitan dan kerisauan yang disebabkan oleh insiden tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau juga mengumumkan bahawa penumpang yang terjejas layak mendapat baucer bayaran balik perjalanan satu hala di mana-mana kaunter stesen LRT dan baucer itu sah untuk tempoh lima hari bermula Selasa serta boleh digunakan di semua laluan tren Rapid Rail.

Amir berkata, Rapid Rail telah melantik khidmat pakar luar bermula awal tahun ini bagi menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penambahbaikan sistem rel dan hasilnya akan dikongsi dengan pihak berkepentingan dalam masa terdekat.

"Kami mahu memberi perkhidmatan terbaik pada sepanjang masa dan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan pengangkutan rel adalah selamat,” katanya.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya tergendala bermula jam 8.16 pagi Selasa disebabkan sebuah tren terkandas di stesen LRT Taman Jaya. Perkhidmatan pulih sepenuhnya pada jam 1.26 tengah hari setelah kerja pengalihan tren selesai. - Bernama