Elaun guru KAFA dapat perhatian

Yosree (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil asnaf Pulau Tinggi dalam majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Sekolah Agama Pulau Tinggi di Masjid Pulau Tinggi, baru-baru ini.
Yosree (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil asnaf Pulau Tinggi dalam majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Sekolah Agama Pulau Tinggi di Masjid Pulau Tinggi, baru-baru ini.
A
A
A

MERSING - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan membawa keluhan berhubung elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Timbalan Pengarah Pendidikan Agama Bahagian Pendidikan Islam, Yosree Ikhsan berkata, walaupun guru KAFA tidak termasuk dalam bajet, namun beliau melihat ada keperluan diberikan kepada enam guru di sini.

"Dari segi tenaga guru di kebanyakan pulau saya lihat mencukupi, tapi sebahagian guru masih belum dapat elaun kritikal khususnya untuk pengangkutan.

"Guru KAFA tidak termasuk dalam bajet kita untuk tujuan elaun kritikal tapi melihat kepada keperluan, kita akan cuba bawa kepada majlis," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas lawatan ke beberapa sekolah agama pulau di Mersing.

Beliau turut mengambil maklum permohonan sesetengah sekolah agama untuk memiliki bangunan sendiri.

Beliau yang turut menghadiri acara tahunan Sekolah Agama Pulau Tinggi, Sambutan Maulidur Rasul akui kagum melihat suasana kebersamaan dan semangat gotong-royong yang masih diterapkan.

"Kita galakkan mana-mana masjid, surau dapat kerjasama wujudkan suasana gotong royong itu lagi terutama di kawasan bandar.

"Apa-apa majlis kalau guna perkhidmatan penyedia makanan kurang menampakkan kemesraan antara penduduk. Suburkan kembali gotong royong itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Senada dengan beliau, Timbalan Ketua Jemaah Nazir Negeri Johor, Mohd Hidris Shahri yang mengalami sendiri kemesraan itu sejak beberapa tahun lalu.

"Pengalaman saya yang pernah berkhidmat enam tahun di Mersing. Walaupun saya dah lama tinggalkan Mersing tapi mereka masih jaga hubungan.

"Mereka masih jemput saya sekiranya ada sebarang majlis. Nilai positif ini perlu disebarkan kepada masyarakat luar.

"Hampir 10 tahun saya hadir majlis Maulidur Rasul ini tapi tetap ada kelainan di sini dari tempat lain. Di luar mana ada pertandingan azan, berzanji, dan membaca surah al-Fatihah untuk dewasa kalau untuk kanak-kanak itu sudah biasa,"katanya.

Beliau juga mencadangkan guru-guru di bandar di bawa masuk ke situ bagi memahami kesukaran guru-guru di pulau.

Pihak JAINJ turut menyampaikan sumbangan bayaran fidyah kepada 36 asnaf di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi.

Sambutan Maulidur Rasul yang meriah setiap tahun merupakan antara acara ditunggu-tunggu penduduk di Pulau Tinggi.