Yan Yee dedikasikan pingat emas kepada ibunya

Atlet Terjun Negara, Ng Yan Yee bergambar dengan pingat emas yang dimenanginya dalam acara 3 Meter Papan Anjal Kategori Wanita sempena Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh pada Selasa. - Foto Bernama
Atlet Terjun Negara, Ng Yan Yee bergambar dengan pingat emas yang dimenanginya dalam acara 3 Meter Papan Anjal Kategori Wanita sempena Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

HANOI - Atlet terjun wanita negara, Ng Yan Yee mendedikasikan pingat emas dimenanginya pada Sukan SEA ke-31 kepada ibunya yang tercinta, bersempena Hari Ibu yang disambut pada Ahad lalu.

Yan Yee berkata, ibunya adalah antara individu terpenting dan menjadi tulang belakang kepada perjalanan kariernya, sebagai seorang atlet.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata pencapaian dilakarnya juga dikhaskan kepada semua ibu di dunia yang banyak berkorban demi melihat anaknya mencapai kejayaan.

"Istimewanya pingat emas ini pertama sebab ia acara individu dan satu lagi sebab Hari Ibu, ia untuk ibu saya yang sentiasa menyokong saya walaupun dalam keadaan saya bersedih dan nak berputus asa. Semua orang tahu macam mana terjunan saya di (Olimpik) Tokyo, dan saya bersyukur kerana secara sedikit-sedikit ia kembali semula, walaupun saya sudah berusia.

"Ini juga (emas) untuk semua ibu-ibu, semua tahu bagaimana sukarnya menjadi seorang ibu, jadi saya berterima kasih yang kami di sini dan kami dapat meraih pingat emas, dan semua orang kekal selamat,” katanya ketika ditemui selepas saingan final 3 meter (m) papan anjal wanita di Pusat Akuatik My Dinh pada Selasa.

Pada saingan itu, Yan Yee menepati ramalan menewaskan tujuh pencabar lain untuk membawa pulang emas, sementara rakan senegara Ong Ker Ying meraih perak dan gangsa milik wakil Singapura Fong Kay Yian.

Ia adalah emas kedua peribadinya di temasya sukan dwitahunan itu, selepas menjuarai acara 3m papan anjal seirama bersama gandingan Ker Ying, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Yan Yee berkata, beliau belum memikirkan perancangan pascatemasya Sukan SEA ke-31, namun telah memikirkan mengenai persiapan menghadapai Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan depan dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Saya akan teruskan latihan dan belajar macam biasa dan kita lihat bagaimana, sebab pandemik semuanya berubah dan Sukan Asia 2022 juga ditangguhkan, jadi selepas ini kita hanya berlatih untuk Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia,” kata penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan pemakanan itu. - Bernama