Wisma Negeri Melaka tutup empat hari

Keadaan bangunan Wisma Negeri di Ayer Keroh selepas berlaku runtuhan siling akibat kebakaran.
Keadaan bangunan Wisma Negeri di Ayer Keroh selepas berlaku runtuhan siling akibat kebakaran.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri mengambil tindakan menutup sementara bangunan Wisma Negeri di Ayer Keroh di sini sehingga Jumaat ini selepas berlaku kebakaran yang mengakibatkan air bertakung di bangunan itu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman berkata, kebakaran kecil itu berlaku di bahagian sayap kiri tingkat satu bangunan yang menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (PDTMT).

Menurutnya, susulan itu sistem semburan air automatik beroperasi selama 11 jam bermula jam 8 malam Isnin lalu.

Katanya, situasi itu menyebabkan lantai tingkat satu banjir dengan paras air setinggi tiga hingga empat inci dan turut menjejaskan bahagian tingkat bawah dengan beberapa runtuhan kecil siling bangunan itu.

Bangunan Wisma Negeri terpaksa menghentikan operasi selama empat hari selepas berlaku kebakaran dan menyebabkan banjir di bangunan itu.
Bangunan Wisma Negeri terpaksa menghentikan operasi selama empat hari selepas berlaku kebakaran dan menyebabkan banjir di bangunan itu.

"Bagaimanapun, tiada kerosakan peralatan elektrik dikesan setakat ini termasuk semua dokumen semua selamat.

"Penilaian kerosakan akan dilakukan melalui satu jawatankuasa siasatan berkaitan insiden itu dibantu pejabat daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya ketika meninju lokasi di Wisma Negeri di Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, hampir kesemua unit dan bahagian termasuk bilik kebal yang menempatkan dokumen penting dalam PDTMT selamat.

Bagaimanapun, operasi Pejabat Daerah Melaka terpaksa dihentikan sementara bermula Selasa hingga Jumaat ini membabitkan kira-kira 150 kakitangan bagi tujuan pembersihan.

"Nilai kerosakan dan jumlah kerugian juga masih dalam siasatan," katanya.