Remaja hilang selepas ke masjid masih belum pulang

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan pelajar, Muhammad Al Muizz Almawardi,16, yang dilaporkan masih tidak pulang selepas keluar dari rumah untuk menunaikan solat subuh di Masjid Al Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Cheras di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, remaja berkenaan kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berlengan panjang warna hitam, seluar hitam dan membawa beg galas warna coklat.

"Pada 9 Mei jam lebih kurang 6.56 pagi, pihak polis Cheras telah menerima laporan berhubung kejadian kehilangan seorang remaja berumur 16 tahun.

"Siasatan awal mendapati pada 08 Mei jam lebih kurang 5.45 pagi, remaja tersebut telah keluar dari rumah untuk solat subuh di Masjid Al Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Cheras dan sehingga ke hari ini masih belum pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan keluarga Muhammad Al Muizz telah membuat laporan berkenaan kehilangan remaja tersebut di Balai Polis Sungai Besi di sini.

Menurut ibunya, Nuraliana Alias, 38, sebelum ini, anaknya tidak pernah tidak pulang ke rumah, malah jarak masjid itu hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka.

"Anak ada memaklumkan kepada kami hendak keluar berhari raya bersama kawan-kawannya selepas solat Subuh tetapi sehingga sekarang masih belum pulang.

"Petang hari yang sama, kami sepatutnya menghantarnya pulang semula ke asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya," ujarnya telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan diminta untuk tampil ke balai berdekatan atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd Shahrizal Ishak Sawi di talian 0193637813 atau Hotline Polis Cheras 039284 5050.