Syarikat penerbangan diarah serah data berhubung gangguan jadual

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menyerahkan semua data berhubung gangguan jadual penerbangan sepanjang tempoh perayaan dari 29 April hingga 9 Mei tahun ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kassim berkata, ia berikutan pihaknya telah menerima pelbagai aduan berkaitan syarikat-syarikat penerbangan yang membuat perubahan secara sembarangan pada jadual penerbangan tanpa memberi notis yang mencukupi kepada pengguna.

Ujar beliau, data yang diminta itu termasuk informasi berkenaan penerbangan berjadual yang telah dirancang oleh semua syarikat penerbangan berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula yang telah berlangsung semasa tempoh perayaan tersebut.

“Pengguna yang menghadapi isu penundaan penerbangan, isu semasa penerbangan dan tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya diminta untuk membuat aduan rasmi kepada syarikat penerbangan berkenaan.

“Selain itu, pengguna digalakkan untuk mengemukakan aduan mereka kepada Mavcom melalui laman sesawang FlySmart di www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart bersama-sama dengan dokumentasi yang berkaitan untuk memudahkan penyiasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Saripuddin berkata, di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), syarikat penerbangan dikehendaki untuk memaklumkan pengguna mengenai sebarang perubahan dalam status penerbangan secepat mungkin.

Menurutnya, untuk penundaan penerbangan selama dua jam atau lebih, syarikat penerbangan mesti menyediakan makanan serta memberikan pengguna akses kepada panggilan telefon dan internet.

“Di samping itu, bagi penundaan penerbangan selama lima jam atau lebih, syarikat penerbangan harus menyediakan penginapan dan pengangkutan, jika diperlukan oleh pengguna.

“Jika masa penerbangan yang dijadualkan semula tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket penerbangan juga perlu dibuat oleh syarikat penerbangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Mavcom juga sedang memperhalusi MACPC bagi memperkemas serta menambah baik lagi perlindungan kepada pengguna, khususnya dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

“Isu ini merupakan perkara yang mendesak dan Mavcom akan terus memastikan pemain industri kekal mematuhi MACPC dan hak-hak pengguna terus ditegakkan,” jelasnya.