Pensijilan halal: Jakim tidak akan kompromi jika salah

Hakimah
Hakimah
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika terdapat kesalahan dan ketidakakuran yang melibatkan proses pensijilan dan pengiktirafan halal.

Tegas Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Jakim bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menyiasat sebarang dakwaan salah laku berhubung perkara itu termasuk melibatkan pegawai di jabatannya.

"Dimaklumkan, bahawa siasatan berhubung dakwaan ini sedang dijalankan oleh Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan juga pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, satu badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan pusat penyembelihan di Australia telah menimbulkan keraguan pelbagai pihak selepas didakwa tatacara penyembelihan yang dilakukan tidak mengikut cara Islam.

Menurut Hakimah, perbincangan antara Jakim dengan Kaunselor (Pertanian), Kedutaan Australia di Malaysia juga telah diadakan pada 28 April bagi memastikan hasil siasatan tersebut dapat diserahkan kepada Kerajaan Malaysia secepat mungkin.

"Jakim juga bersedia pada bila-bila masa untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh mengenai isu ini demi kepentingan semua pihak," katanya.