Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengurusan 1MDB mesyuarat di London bincang dana tambahan RM1 bilion

Najib keluar dari Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas hadir sambung bicara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya pada Selasa. - Foto Bernama
Najib keluar dari Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas hadir sambung bicara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu bahawa mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diadakan di London pada 16 Mei 2011 bagi membincangkan mengenai perjanjian pelaburan tambahan RM1 bilion, usaha sama 1MDB-PetroSaudi menerusi Perjanjian Pembiayaan Murabaha.

Bekas Setiausaha syarikat 1MDB, Goh Gaik Kim, 54, yang turut menghadiri mesyuarat itu bersama Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail, Jasmine Loo Ai Swan dan Ashvin Jethanand berkata, rancangan untuk mengadakan mesyuarat di Hotel Hilton, London dibuat oleh pihak pengurusan 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Wanita itu yang dirujuk dengan minit mesyuarat bertarikh 16 Mei 2011 berkata, sebelum mesyuarat itu bermula Jasmine Loo yang merupakan peguam 1MDB, telah menyerahkan tiga set dokumen kepadanya untuk simpanan iaitu Resolusi Ahli Lembaga Pengarah, Resolusi Pemegang Saham Biasa dan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan.

"Dokumen-dokumen ini adalah berkaitan dengan pelaburan tambahan RM1 bilion di bawah Perjanjian Pembiayaan Murabaha dengan 1MDB-PetroSaudi. Kesemua dokumen ini telah siap ditandatangani oleh semua Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dan Datuk Seri Najib. Bagaimanapun, perkara ini (dokumen tersebut) tidak dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan,” katanya.

Di dalam mesyuarat tersebut, saksi berkata terdapat beberapa perkara penting yang dibincangkan termasuk pembentangan yang dibuat oleh Jasmine Loo mengenai Perjanjian Pembiayaan Murabaha.

Gaik Kim yang kini merupakan Setiausaha syarikat TRX City Sdn Bhd berkata pada keesokan hari selepas mesyuarat tersebut beliau pulang ke Malaysia.

"Saya ada menerima jadual lawatan tersebut. Seingat saya, terdapat beberapa events yang diadakan sebelum atau selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, tetapi saya hanya menghadiri mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah sahaja,” kata Gaik Kim yang mula berkhidmat sebagai Setiausaha syarikat 1MDB pada 31 Mac 2011 sebelum berhenti pada 1 April 2016.

Pada prosiding 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral memberitahu mahkamah bahawa pada 2011, Najib telah meluluskan dana tambahan RM1 bilion dalam perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi.

Artikel Berkaitan:

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama