Suami isteri maut nahas di Gerik

Nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Gerik - Jeli pada Isnin telah mengorbankan sepasang suami isteri. - Foto Ihsan pembaca
Gambar kecil: Mior Faridalathrash
Nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Gerik - Jeli pada Isnin telah mengorbankan sepasang suami isteri. - Foto Ihsan pembaca Gambar kecil: Mior Faridalathrash
A
A
A

GERIK - Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 76, Jalan Raya Timur - Barat (JRTB) Gerik - Jeli di sini pada Isnin.

Dalam kejadian itu, Mohd Azmi Imas, 47, dan isterinya, Rohani Abdullah, 48, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, anak pasangan itu, lelaki berusia 14 tahun dan perempuan berusia 18 tahun yang merupakan penumpang belakang masing-masing mengalami patah tangan kiri serta luka ringan di tangan kanan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan awal kemalangan berlaku kira-kira jam 8.15 malam membabitkan kereta jenis Nissan Latio yang dinaiki empat sekeluarga dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki tiga lelaki.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa memandu dari arah Gerik, Perak menuju ke Jeli, Kelantan manakala pacuan empat roda dari arah bertentangan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas masuk ke kanan jalan dan melanggar Mitsubishi Triton.

"Akibat kemalangan ini, kedua-dua mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan daripada Hospital Jeli," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mior Faridalathrash berkata, dua anak mangsa bersama seorang lagi penumpang dari kenderaan pacuan empat roda yang berusia 48 tahun dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.