Kelantan urus sampah Aidilfitri dengan baik

Pekerja-pekerja pembersihan mengutip sampah menggunakan lori bagi memastikan sampah tidak bertimbun dan diurus dengan baik. Gambar kecil: Dr. Izani
Pekerja-pekerja pembersihan mengutip sampah menggunakan lori bagi memastikan sampah tidak bertimbun dan diurus dengan baik. Gambar kecil: Dr. Izani
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berjaya menguruskan lebih 300 hingga 350 tan sampah domestik dan pukal setiap hari dalam tempoh seminggu sebelum dan seminggu selepas Aidilfitri di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kejayaan itu terbukti apabila tidak ada aduan yang diterima pihaknya berhubung isu sampah pada perayaan kali ini.

Menurutnya, pengurusan sampah seminggu sebelum dan seminggu selepas Aidilfitri di negeri itu dilakukan dengan sangat baik pihak terlibat.

“Saya memberi pujian dan mengucapkan tahniah kepada seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini terutama sekali kepada pekerja-pekerja kebersihan yang pada saya mereka ini sangat penting dalam menjaminkan kebersihan kita pada Aidilfitri kali ini.

“Buat pertama kali, kebersihan pada Aidilfitri tahun ini tidak menjadi isu langsung. Tidak ada aduan sebab pekerja-pekerja yang begitu dedikasi bekerja pada musim raya termasuk pada malam Aidilfitri sehingga ke Subuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri di pejabatnya di Kota Darul Naim pada Selasa.

Beliau berkata, penghasilan sampah domestik dan pukal oleh penduduk di negeri itu meningkat semasa perayaan Aidilfitri misalnya di Kota Bharu sebanyak 300 sehingga 350 tan sehari berbanding 250 hingga 300 tan sehari pada waktu biasa.

“Peningkatan pembuangan sampah oleh penduduk daerah Kota Bharu antara 300 hingga 350 tan sehari itu disebabkan oleh persiapan Syawal dengan penduduk yang membersihkan kawasan rumah mereka untuk beraya.

“Mereka mungkin membuang barangan lama untuk digantikan dengan yang baharu menyebabkan timbunan sampah di dalam tong yang disediakan oleh PBT,” katanya.

Menurutnya, PBT sentiasa membuat kutipan sampah secara efisien untuk mengelakkan sisa buangan itu bertimbun dan mendapatkan bantuan daripada jentera swasta sekiranya jentera sedia ada tidak mencukupi.

“Kalau dilihat, rakyat kini berada pada landasan yang betul dalam menjaga kebersihan di negeri Kelantan.

“Kerajaan juga akan meneliti dari sudut keperluan peningkatan bajet tahun depan untuk menyediakan lebih banyak infrastruktur bagi meningkatkan tahap kebersihan selain menuntut rakyat berubah kepada masyarakat yang lebih suka mengamalkan kebersihan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata, Kelantan kekal pada dua angka kes positif Covid-19 harian dan tidak ada peningkatan kes selepas perayaan berbanding jangkakan peningkatan.

“Amalan menjaga kebersihan kendiri dan prosedur operasi standard seperti pemakaian pelitup muka amat membantu selain keberkesanan terhadap suntikan vaksin Covid-19,” ujarnya.