Jel 12 hari, denda RM10,000 halang tugas polis

Erdy Errwan (tiga dari kiri) diiringi polis di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi dua pertuduhan memandu secara merbahaya dan menghalang polis yang mengiringi konvoi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Jumaat lalu.
Erdy Errwan (tiga dari kiri) diiringi polis di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi dua pertuduhan memandu secara merbahaya dan menghalang polis yang mengiringi konvoi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Padah halang tugas polis yang mengiringi konvoi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan memandu secara berbahaya, seorang pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan bangunan dipenjara 12 hari dan denda RM10,000 oleh dua Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Selasa.

Erdy Errwan Hamdan, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar dan Aina Azahra Arifin.

Bagi pertuduhan menghalang tugas anggota polis, bapa kepada dua anak itu dipenjara lima hari bermula Selasa, denda RM7,000 atau dipenjara lima bulan serta hilang kelayakan memegang/ mendapatkan lesen memandu tidak kurang tempoh lima tahun daripada sabitan.

Bagi pertuduhan memandu secara berbahaya, dia dipenjara tujuh hari daripada tarikh tangkap (Sabtu) dan denda RM3,000 atau dipenjara tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, Erdy Errwan didakwa sebagai pemandu kereta Honda Civic berwarna kuning, telah memandu secara melulu dan sengaja menghalang Lans Koperal Mohd Azwar Iqbal Chinang daripada menjalankan fungsi rasminya iaitu tugas mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Kesalahan dilakukan di Lebuh Raya Sultan Iskandar, Dang Wangi di sini pada jam 10 dan 11.30 malam, 6 Mei lalu.

Bagi kesalahan memandu secara merbahaya, dia dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Sementara bagi kesalahan menghalang penjawat awam, dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman dan Pegawai Pendakwa Mahkamah Trafik Kuala Lumpur, Inspektor Abdullah Khazali sebelum itu memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Erdy Errwan yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan sudah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.

“Dengan gaji RM1,600 hingga RM1,700 sebulan, saya perlu menanggung isteri dan dua anak berusia enam serta tiga tahun selain bapa saya baru sahaja meninggal dunia,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa pihak polis mengiringi konvoi melalui Lebuh Raya Sultan Iskandar ke susur keluar Jalan Tunku Abdul Halim, sebuah kereta Honda Civic dari arah belakang dipandu secara melulu di lorong kiri jalan sehingga menyebabkan berlaku pergeseran dengan sebuah lagi kenderaan lain.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka berdurasi 0.53 minit, kereta Honda Civic bergerak dengan laju dan memintas konvoi melalui laluan kecemasan di kiri jalan serta mengabaikan isyarat oleh juruiring supaya keluar dari laluan.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seorang pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan bangunan direman empat hari bagi membantu siasatan kes mengganggu tugas anggota polis yang sedang mengiring orang kenamaan, di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala susur masuk Jalan Sultan Abdul Halim di sini pada Jumaat.