Selepas raih emas ke-13 Sukan SEA, Tze Liang tumpu Sukan Komanwel

Atlet Terjun Negara, Ooi Tze Liang dengan pingat Emas yang dimenangi beliau dalam acara 1M papan anjal individu Lelaki sempena Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh pada Isnin. - Foto Bernama
Atlet Terjun Negara, Ooi Tze Liang dengan pingat Emas yang dimenangi beliau dalam acara 1M papan anjal individu Lelaki sempena Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

HANOI - Selepas merangkul pingat emas peribadi ke-13 di Sukan SEA, atlet terjun lelaki negara, Ooi Tze Liang mahu mengalihkan tumpuannya ke temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini, secepat mungkin.

Berbaki kira-kira dua bulan sebelum ia bermula, Tze Liang yang kali terakhir memenangi pingat emas Sukan Komanwel pada edisi 2014 di Glasgow menerusi acara 3 meter (m) papan anjal lelaki, sudah bersedia untuk memulakan persediaan untuk mengharungi cabaran sengit temasya sukan itu.

"Perancangan saya selepas ini adalah temasya sukan besar akan datang iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Kedua-dua itu yang penting kepada kita, jadi fokus tertumpu kepadanya,” kata Tze Liang ketika ditemui pemberita di sini.

Semalam, Tze Liang mencipta sejarah tersendiri apabila menyambar emas peribadi ke-13 selepas mengungguli saingan final acara 1m papan anjal lelaki Sukan SEA ke-31 di Pusat Akuatik My Dinh, di sini.

Ia juga merupakan pingat emas kedua diraihnya di Hanoi selepas turut membawa pulang emas 3m papan anjal seirama lelaki bersama gandingan Chew Yi Wei, Ahad lepas.

Selain merangkul emas, Tze Liang turut berjaya mendapatkan pingat perak 10 m platform lelaki pada Sukan Komanwel 2014.

Sementara itu, penerjun berusia 28 tahun yang kini menuntut di Universiti Malaya (UM) itu percaya kepada kemampuan diri sendiri adalah kunci kejayaan seseorang atlet.

"Nasihat saya kepada atlet muda adalah selalu percaya pada diri sendiri dan jangan putus asa. Selain itu disiplin. Kena selalu berdisiplin,” katanya. - Bernama