Ahli PKR dakwa manipulasi undi mungkin berlaku

Parti Keadilan Rakyat
Parti Keadilan Rakyat
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan mendakwa kemungkinan wujud manipulasi undi pada Pemilihan PKR 2022 menerusi sistem pengundian secara dalam talian yang digunakan.

Beberapa ahli PKR yang enggan mendedahkan nama memberitahu Sinar Harian, ini kerana nombor 'One Time Password' (OTP) yang dihantar kepada pengundi bagi tujuan itu boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja.

"Sebagai contohnya, jika seseorang calon tahu mana-mana pengundi yang tidak mahir menggunakan aplikasi itu mereka boleh 'mempergunakannya'.

"Calon atau sesiapa sahaja boleh meminta nombor OTP yang telah dihantar ke telefon bimbit pengundi dan kemudian boleh mengundi untuk mereka yang kurang arif menggunakan telefon pintar," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR, Datuk M Ravi ketika dihubungi Sinar Harian mendedahkan ada menerima aduan daripada beberapa ahli yang tidak berpuas hati.

Menurutnya, mereka telah dinasihatkan membuat laporan polis jika benar wujud unsur penipuan.

"Ada yang datang buat aduan kepada saya tetapi apabila diminta buat laporan polis, mereka beri alasan takut.

"Bagi saya sesiapa pun boleh mendakwa itu dan ini tetapi selagi tidak mahu tampil ke depan sertakan bukti dan buat laporan polis atau laporan bertulis kepada saya sendiri, macam mana kita nak ambil tindakan," katanya pada Selasa.

Ujarnya, mereka tidak perlu takut jika mempunyai bukti kukuh wujudnya penipuan.

Ravi mengakui sistem digunakan kemungkinan boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk mendapatkan undi.

Namun katanya, sistem dalam talian yang digunakan adalah baik dan PKR merupakan parti pertama menggunakan cara itu.

"Ini mungkin pertama kali kita guna, jadi ada masalah sikit dan saya rasa pada masa akan datang ia perlu ditambah baik.

"Saya sendiri terpaksa minta bantuan seorang pelajar untuk gunakannya," katanya.