RM40,000 menanti belia di Festival Gegar

Asran (tujuh, kiri) membuat sidang media Festival Gegar yang akan diadakan di RTC Tunjong, selama dua hari bermula 29 Mac ini.
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak RM40,000 wang tunai hadiah terkumpul menanti peserta yang menyertai 11 pertandingan Festival Gerakan Belia Kelantan (Gegar), yang akan diadakan bermula jam 8.30 pagi, pada 29 dan 30 Mac ini.

Pengarah Program, Asran Alias berkata, antara pertandingan yang adakan diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong ialah autoshow kereta dan motosikal, futsal, dikir barat, pidato belia, e-sport serta kereta lumba mini Tamiya.

Selain itu, beliau berkata, pameran, seminar pemasaran atas talian dan pengukuhan jenama diadakan serentak dengan program itu.

"Bagi memberi pendedahan kepada belia yang berminat dengan pemasaran serta keusahawanan secara dalam talian, kita turut mengadakan seminar penjenamaan dan pemasaran talian secara percuma oleh Fahdi Ghazali.

"Kita turut mengetengahkan program kerohanian dan pendidikan menerusi kuliah Jumaat oleh Nik Omar Nik Abd Aziz dan Abu Hafiz Salleh Hudin," katanya selepas sidang media Gegar di Pejabat Belia dan Sukan Kota Bharu, semalam.

Hadir sama Pengerusi PH Kelantan, Senator Datuk Husam Musa.

Lebih menarik katanya, majlis perasmian penutup karnival ini akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hari terakhir program.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia