838 terima geran hak milik rumah PPRT Keda

Proses pemindahan hak milik dilakukan kepada penduduk selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria dan syarat yang ditetapkan Keda

Mahdzir (tengah) menyerahkan geran hak milik rumah PPRT Keda kepada seorang penerima di SMK Pokok Sena, Pokok Sena pada Selasa.
Mahdzir (tengah) menyerahkan geran hak milik rumah PPRT Keda kepada seorang penerima di SMK Pokok Sena, Pokok Sena pada Selasa.
A
A
A

POKOK SENA - Sebanyak 838 geran hak milik rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) telah diserahkan kepada peserta yang layak sejak tahun 2015.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah itu sebahagian daripada 2,778 unit yang telah diberikan hak milik kepada Keda sebelum proses pindah milik dilakukan secara berperingkat kepada peserta terbabit.

Menurut beliau, daripada keseluruhan 3,862 unit rumah di 44 penempatan PPRT Keda, sebanyak 2,778 unit telah diberikan milik kepada Keda.

“Sehingga kini, Keda telah melaksanakan proses pindah milik sebanyak 838 unit kepada penduduk yang layak manakala baki 1,940 unit lagi akan dilaksanakan dari masa ke masa,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Penempatan Desa Keda di SMK Pokok Sena, pada Selasa.

Pada majlis tersebut, Seramai 160 peserta dari Desa Keda Bendang Perang, Desa Keda Kampung Bukit dan Desa Keda Derang menerima geran hak milik yang diserahkan sendiri oleh Mahdzir.

Mahdzir (depan, empat dari kiri) bergambar bersama 160 penerima geran hak milik rumah PPRT Keda selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Penempatan Desa Keda di SMK Pokok Sena, Pokok Sena pada Selasa.
Mahdzir (depan, empat dari kiri) bergambar bersama 160 penerima geran hak milik rumah PPRT Keda selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Penempatan Desa Keda di SMK Pokok Sena, Pokok Sena pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Keda, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengurus Besar Keda, Kamarudin Abd Akib.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, proses pemindahan hak milik dilakukan kepada penduduk selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria dan syarat yang ditetapkan Keda.

“Antaranya penghuni di Desa Keda perlu berdisiplin dan menunjukkan keperibadian memuaskan serta tidak melanggar peraturan selain tidak terbabit dengan gejala negatif.

“Jika syarat itu dipenuhi kita akan beri keutamaan untuk mendapat hak milik. Tanah dan rumah yang dimiliki ini adalah satu aset yang tidak ternilai harganya serta perlu dipelihara untuk diwarisi sehingga anak cucu,” ujarnya.

>