Perak beri amaran kepada syarikat konsesi sampah

Saarani (dua dari kanan) melayan orang ramai yang hadir sempena Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
Saarani (dua dari kanan) melayan orang ramai yang hadir sempena Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Syarikat konsesi yang gagal melaksanakan tanggungjawab mengutip sampah di Perak seperti dinyatakan dalam perjanjian bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh ditamatkan perkhidmatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya memang menerima aduan daripada orang ramai berkenaan sampah-sarap yang tidak dikutip sehingga dua minggu di sekitar kawasan Ipoh dan Taiping.

Menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada PBT berkaitan dan alasan diberikan adalah jumlah sampah yang meningkat disebabkan hari raya selain masalah kekurangan pekerja.

"Di Perak, kita telah beri hak kepada Majuperak Utilities Management Sdn Bhd untuk menguruskan kerja berkaitan pungutan sampah dan mereka telah tandatangan perjanjian dengan beberapa PBT.

"Kalau prestasi mereka tidak memuaskan, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dan kalau ada klausa tamatkan perkhidmatan berkenaan kena tamatkan jika tidak perform," katanya kepada pemberita selepas program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan orang ramai di media sosial mengenai masalah sampah yang tidak dikutip dalam tempoh masa lama di kawasan kediaman penduduk.

Sementara itu, Saarani berkata, pihaknya akan memanggil Majuperak Holding untuk mengarahkan syarikat itu menasihati Majuperak Utilities Management Sdn Bhd berhubung isu sampah tersebut.

Menurutnya, syarikat tersebut mempunyai tempoh percubaan sehingga November tahun ini sebelum keputusan sama ada menyambung kontrak atau ditamatkan perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, Hari Bertemu Pelanggan yang masuk siri ketiga pada Selasa menerima 177 aduan dan dikunjungi oleh 171 orang.

Menurutnya, jumlah itu sedikit berkurangan berbanding program sama sebelum ini.

Katanya, masalah paling banyak dibangkitkan melibatkan urusan tanah dan isu melibatkan pendaftaran kewarganegaraan serta pengambilan anak angkat.