Nurul Izzah perlu faham usaha Tun M pulihkan negara

Nurul Izzah
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya menyifatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah belum cukup matang dan tidak rasional apabila melabelkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 'bekas diktator' yang menyebabkan banyak kerosakan pada negara.

Menurutnya, Nurul Izzah tidak seharusnya emosi sebaliknya, mengutamakan perihal rakyat dan negara.

"Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan komen tidak baik apatah lagi melabelkan Dr Mahathir sebagai 'bekas diktator' yang menyebabkan banyak kerosakan dalam wawancara bersama media Singapura.

"Saya percaya Nurul Izzah cukup arif dalam arena politik, namun beliau masih belum matang dan memahami pendirian perdana menteri dan kerajaan yang sedang berusaha memulihkan semula kekuatan sistem negara yang telah dirosakkan pentadbiran sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Dr Mahathir, apa yang dilakukan perdana menteri dan kerajaan ketika ini tidak harus dilihat secara peribadi oleh Nurul Izzah sebaliknya, memerhatikan menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negara.

"Sebagai seorang ahli parlimen dan bekas Naib Presiden PKR, saya yakin Nurul Izzah tidak lupa bahawa kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah keputusan sebulat suara.

"Keputusan ini diputuskan secara konsensus majlis pimpinan PH manakala segala keputusan membabitkan hal ehwal pentadbiran kerajaan pula diputuskan bersama oleh jemaah menteri," ujarnya.

Justeru beliau memberitahu, anak sulung kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan tidak tepat terhadap Dr Mahathir.

"Lagipun Nurul Izzah merupakan ahli parlimen daripada PH. Seharusnya, beliau berperanan memberikan buah fikiran bagi menambah baik sistem politik negara dan pentadbiran kerajaan," jelasnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia