Kes HFMD meningkat enam kali ganda di Pahang

Kes HFMD di Pahang meningkat enam kali ganda iaitu 1,145 kes sehingga 7 Mei lalu. Gambar kecil: Dr Nor Azimi
Kes HFMD di Pahang meningkat enam kali ganda iaitu 1,145 kes sehingga 7 Mei lalu. Gambar kecil: Dr Nor Azimi
A
A
A

KUANTAN - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri Pahang meningkat enam kali ganda iaitu 1,145 kes sehingga 7 Mei lalu berbanding hanya 190 kes dalam tempoh sama tahun 2021.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes HFMD yang direkodkan banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun dengan 1,093 kes atau 95.4 peratus, diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun, 43 kes (3.8 peratus) dan sembilan kes (0.8 peratus) melibatkan individu berumur lebih 12 tahun.

Menurutnya, daripada keseluruhan 1,145 kes tahun ini, 138 kes atau 12.1 peratus adalah kes yang dikenalpasti berlaku hasil penularan di taska, tadika dan prasekolah, manakala 1,007 (87.9 peratus) kes berlaku secara sporadik.

"HFMD merupakan penyakit berjangkit disebabkan enterovirus dengan majoriti kes disebabkan Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Penyakit ini boleh menjangkiti semua peringkat umur terutamanya kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Nor Azimi berkata, virus itu boleh merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Bagaimanapun hampir keseluruhan pesakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari," katanya.

Beliau berkata, bagi jangkitan melibatkan EV71, komplikasinya lebih teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.

Justeru katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menasihati orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

"Antaranya, basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

"Sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah dan persekitaran, tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin, jangan berkongsi pakaian, tuala, perkakas, makanan dan minuman serta alat mainan anak," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, segera bawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan.

"Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam," katanya.

Tambah beliau, pengusaha dan penjaga di taska, tadika, tabika dan prasekolah diminta supaya sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan kanak-kanak.

"Saringan juga perlu dibuat di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

"Bagi kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan," katanya.

Katanya, langkah disinfeksi atau nyahkuman permukaan yang tercemar juga dapat mengurangkan risiko jangkitan.