'United Front' perlu segera dibentuk: Faiz Fadzil

Faiz
Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentukan Barisan Bersatu (United Front) perlu segera dibentuk dengan menjuarai isu-isu poket rakyat serta sensitiviti Melayu untuk Pakatan Harapan (PH) kembalikan semula kuasa rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, UMNO-Barisan Nasional (BN) yang selama ini terkenal dengan dasar anti demokrasi pasti menggunakan peluang yang ada jika berkuasa semula untuk menutup ruang-ruang demokrasi.

Beliau percaya kelesuan rakyat terhadap politik juga boleh meningkat sekiranya UMNO-BN memerintah semula dan sebab itu PH perlu bersemangat untuk bangkit semula menghentikan penguasaan UMNO-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita tidak boleh menunggu sehingga Pilihan Raya Umum seterusnya untuk berkuasa semula,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin malam.

Beliau yang juga merupakan seorang peguam berkata, PH perlu menjuarai dan menyediakan dasar yang mampu menangani masalah 'perut rakyat' termasuk isu harga barang, peluang pekerjaan dan perumahan.

Selain itu, katanya, PH juga perlu mengangkat perjuangan membela orang Melayu sebagai kaum terbesar dalam negara dan memahami sensitiviti setiap isu yang melibatkan sentimen perkauman.

Menurutnya, malah PH perlu memantapkan kaedah komunikasi untuk membangkitkan semangat rakyat untuk keluar mengundi dengan lebih banyak menguasai media sosial dan media mainstream (arus perdana).

"Kerajaan Perikatan Nasional kini diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah sebuah kerajaan tidak stabil kerana tidak dibentuk atas muafakat dan hingga kini tiada apa-apa dasar konkrit memulihkan ekonomi negara terutama kos sara hidup rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sentimen kerajaan Melayu Islam hanya candu politik bagi menjatuhkan kerajaan sah PH, namun tiada apa-apa yang ketara dalam dasar Melayu Islam pada kerajaan hari ini.

"Secara umumnya, kerajaan PH ditumbangkan melalui fitnah dan propaganda yang gagal ditangkis dengan baik," katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat tidak seharusnya membiarkan kerajaan hari ini yang diterajui pimpinan UMNO-BN terus berkuasa kerana kerajaan ini masih terpalit dengan sikap korupsi dan gagal menyediakan dasar yang baik bagi memulihkan ekonomi.

“Peluang perlu diberikan kepada PH untuk mentadbir semula kerana terbukti PH berpegang kepada prinsip tadbir urus baik dan kemampuan melaksanakan dasar baik memulihkan ekonomi.

“Oleh demikian, PH harus bersedia menggembeleng kuasa rakyat untuk mentadbir semula negara ini demi menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin korup dan zalim,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, manifesto PH untuk meletakkan prinsip integriti sebagai tunggak dalam pentadbiran negara yang bersih juga dilaksanakan dengan baik sebelum ini.

Menurutnya, janji untuk menyiasat kes-kes rasuah berprofil tinggi berjaya dilakukan sehingga terdapat pendakwaan terhadap bekas pemimpin negara termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kes-kes 1MDB diselesaikan dengan tuntutan dibuat terhadap kerajaan Amerika Syarikat yang setakat hari ini sejumlah RM20.5 bilion wang 1MDB yang telah diseleweng, telah dipulangkan kepada kerajaan Malaysia," katanya.