Maloney terpaksa lupakan khidmat dua tonggak

 Brad Maloney
Brad Maloney
A
A
A

DUA tonggak skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Azam Azmi Murad dan Hairiey Hakim Mamat berkemungkinan tidak dapat diturunkan dalam aksi menentang Laos bagi perlawanan kedua Kumpulan B Sukan SEA Hanoi 2021 pada Rabu ini.

Perkembangan itu disahkan pengendali Harimau Muda, Brad Maloney selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan ketika menentang Thailand pada aksi pembukaan.

“Azam mengalami konkusi tetapi mujurlah tidak begitu serius. Kita akan terus melihat perkembangannya dengan mengikut protokol yang ditetapkan. Kita juga akan memantau perkembangannya untuk sekurang kurangnya tujuh hari dan kita akan lihat apa akan terjadi selepas itu.

“Untuk Hairiey, buku lalinya masih bengkak namun kini sedang menjalani pemulihan. Saya tidak pasti jika dia boleh diturunkan untuk perlawanan seterusnya.

“Bagaimanapun, kita akan cuba yang terbaik dan kita pun tidak mahu mengambil risiko seandainya dia tidak mampu untuk bermain,” kata Maloney.

Sebelum ini, skuad bimbingan Maloney berjaya menewaskan Thailand 2-1, sekali gus membolehkan mereka mengungguli kumpulan dengan tiga mata.