Lelaki ditahan ganggu tugas polis pengiring

Kejadian berlaku di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala susur masuk Jalan Sultan Abdul Halim, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kejadian berlaku di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala susur masuk Jalan Sultan Abdul Halim, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah mengganggu tugas anggota polis yang sedang mengiring orang kenamaan, seorang pekerja sebuah syarikat penyelenggaraan bangunan direman empat hari bagi membantu siasatan melibatkan kejadian di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala susur masuk Jalan Sultan Abdul Halim di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek sebelum ini diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi pada Sabtu.

"Suspek berumur 36 tahun yang merupakan lelaki warga tempatan itu diberkas kira-kira jam 1.30 petang.

"Siasatan mendapati, suspek yang memandu sebuah kereta telah menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya dengan memandu secara gopoh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku semasa anggota polis terlibat dalam tugas mengiringi orang kenamaan melalui lokasi kejadian.

Suspek yang memandu sebuah kereta mengganggu tugas anggota polis yang mengiringi kenderaan kenamaan.
Suspek yang memandu sebuah kereta mengganggu tugas anggota polis yang mengiringi kenderaan kenamaan.

"Suspek yang diberkas kemudian direman selama empat hari bagi tindakan selanjutnya.

"Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 10 Mei di bawah peruntukan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai diberi amaran agar tidak terlibat dengan apa sahaja kesalahan melanggar undang-undang.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.