23 Mei kebenaran merayu Najib, Shafee batal kelayakan Sri Ram

Najib dan Shafee
Najib dan Shafee
A
A
A

PUTRAJAYA - Permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk kebenaran merayu terhadap penolakan semakan kehakiman mereka untuk membatalkan kelayakan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes mereka, akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 23 Mei.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Bahagian Sivil di Jabatan Peguam Negara, Shamsul Bolhassan apabila dihubungi Bernama, pada Isnin.

Pengurusan kes bagi kes itu dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Fadzlin Abd Zawawi pada Isnin yang dihadiri peguam Sarah Abishegam yang mewakili Najib dan Muhammad Shafee manakala Peguam Persekutuan Nur Syazwani Abdul Aziz bagi pihak kerajaan Malaysia, pihak pendakwaan dan Sri Ram.

Menurut Shamsul, timbalan pendaftar itu telah membenarkan permohonan Najib dan Muhammad Shafee untuk melanjutkan masa sehingga 17 Mei bagi memfailkan hujahan bertulis.

Pada 8 November tahun lepas, bekas Perdana Menteri (Najib) dan Muhammad Shafee gagal dalam rayuan mereka untuk menggugurkan Sri Ram daripada menjadi timbalan pendakwa raya (TPR) kanan dalam kes mereka.

Pada 28 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee untuk menggugurkan Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai TPR kanan dalam perbicaraan kes mereka.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Sri Ram dalam kesnya sebagai TPR kanan dalam kes berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Disember 2018.

Muhammad Shafee yang juga peguam Najib, turut mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan bekas hakim itu sebagai TPR tidak sah.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram. - Bernama