PM Sri Lanka letak jawatan

Mahinda Rajapaksa
Mahinda Rajapaksa
A
A
A

COLOMBO - Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa akhirnya meletak jawatan pada Isnin selepas puluhan mangsa cedera dan dimasukkan ke hospital kerana diserang penyokong beliau ketika krisis ekonomi semakin meruncing di negara itu.

Jurucakapnya, Rohan Weliwita berkata, pemimpin berusia 76 tahun itu telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada adiknya, Presiden Gotabaya Rajapaksa sekali gus membuka laluan penubuhan kerajaan perpaduan baharu.

"Keputusan pengunduran ini berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan kerajaan semua parti mencari jalan keluar terhadap krisis ekonomi yang melanda Sri Lanka," jelas kandungan surat itu.

Keputusan mengejut itu dibuat selepas insiden pertempuran terbesar di Colombo yang menyaksikan penyokong keluarga Rajapaksa bertindak ganas menyerang penunjuk perasaan tidak bersenjata yang berkampung di luar pejabat presiden sejak 9 April lalu.

Salah seorang mangsa cedera dalam insiden pertempuran ganas di luar pejabat presiden di Colombo pada Isnin. - Foto Agensi
Salah seorang mangsa cedera dalam insiden pertempuran ganas di luar pejabat presiden di Colombo pada Isnin. - Foto Agensi

Mereka turut merobohkan khemah yang didirikan peserta protes dan membakar plakad serta kain rentang milik mereka.

"Ia seperti amukan. Mereka menyerang semua orang tidak kira petugas media, wanita dan kanak-kanak," kata seorang saksi.

Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas bekas Perdana Menteri berkenaan berucap di hadapan kira-kira 3,000 penyokongnya dan berjanji akan melindungi kepentingan negara.

Susulan itu, pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air serta mengisytiharkan perintah berkurung di ibu kota sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara Asia Selatan yang berpopulasi 22 juta penduduk tersebut.

Sementara itu, jurucakap Hospital Kebangsaan Colombo memaklumkan kira-kira 78 dirawat di kemudahan tersebut. - AFP