Hospital Kajang lakar sejarah, laksana prosedur derma organ

Gambar yang dikongsi Dr Noor Hisham di Facebook beliau berhubung kejayaan Hospital Kajang melaksanakan prosedur pendermaan organ.
Gambar yang dikongsi Dr Noor Hisham di Facebook beliau berhubung kejayaan Hospital Kajang melaksanakan prosedur pendermaan organ.
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital Kajang melakar sejarah pada Ahad apabila julung kalinya berjaya melaksanakan prosedur pendermaan organ.

Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebooknya pada Isnin.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan penghargaan kepada keluarga penderma atas tindakan murni tersebut.

"Terima kasih diucapkan kepada Pasukan Perolehan Tisu dan Organ, Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi, Jabatan Perubatan, Jabatan Patologi, Jabatan Radiologi, Jabatan Kecemasan dan Unit Forensik Hospital Kajang serta pasukan pakar urologi Hospital Kuala Lumpur yang membantu menjayakan pelaksanaan prosedur ini," katanya.

Dr Noor Hisham menambah, pendermaan organ merupakan anugerah kehidupan yang sangat bernilai kerana ia bukan sahaja memberikan kualiti hidup yang lebih baik malah menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ.

Katanya, berdasarkan rekod terkini terdapat lebih 4,600 pesakit di dalam senarai menunggu organ di negara ini.

"Sebagai makluman, sejarah transplantasi organ di Malaysia telah bermula sejak tahun 1975 lagi. Pelbagai aktiviti dan langkah pengukuhan terus dijalankan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan pendermaan organ.

"Sehingga kini, sejumlah 2,624 pesakit telah menerima manfaat pembedahan transplantasi organ hasil pendermaan organ selepas kematian dan penderma hidup," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi tujuan menyelaras dan melicinkan proses pendermaan organ, unit atau pasukan perolehan organ telah ditubuhkan di hospital-hospital KKM sebagai inisiatif untuk mengukuhkan perkhidmatan terbabit.

Beliau dalam masa sama turut menyeru agar semua pihak untuk terus menyokong program pendermaan organ di Malaysia demi membantu pesakit-pesakit ini.

"Daftarlah sebagai pengikrar derma organ dan maklumkan hasrat kepada keluarga," jelasnya.

Untuk sebarang maklumat lanjut, boleh melayari laman web derma organ di www.dermaorgan.gov.my.