Kian Ming umum tidak bertanding PRU15

Ong Kian Ming
Ong Kian Ming
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr Ong Kian Ming pada Isnin mengumumkan untuk tidak menawarkan dirinya sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Kian Ming berkata, beliau belum bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu dan bersedia untuk berkhidmat kepada parti dan negara jika khidmatnya masih diperlukan.

"Untuk jangka masa terdekat, selepas PRU15, saya merancang untuk berehat dan meluangkan masa dengan bersenam, membaca dan merenung semula bagaimana dan di mana saya dapat manfaatkan pengetahuan serta kemahiran yang saya telah kumpulkan dalam sembilan tahun lepas dengan sebaiknya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusannya untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukanlah sebab utama keputusan itu dibuat.

“Ketika saya mula-mula ditawarkan untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya.

“Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya bahawa saya telah memberikan usaha sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara.

“Kini tiba masanya untuk generasi muda dalam parti mengambil alih tampuk kepimpinan,” katanya lagi.

Karier politik Kian Ming bermula sebagai Ahli Parlimen Serdang sejak 2013 sebelum menyandang kerusi Parlimen Bangi pada 2018.

Mengulas tempoh sembilan tahun berkhidmat sebagai ahli Parlimen, Kian Ming berkata, pengalaman itu mengubah kehidupannya termasuk berpeluang untuk berkenalan dan berhubung dengan individu daripada pelbagai latar belakang.

Dalam pada itu, beliau juga akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan parti sebagai calon di Parlimen Bangi dalam PRU15 kelak.

"Sementara itu, saya akan meneruskan tanggungjawab khidmat rakyat saya di Bangi dan dalam parti sehinggalah Parlimen dibubarkan," katanya.