Tiada permohonan rasmi KBS berhubung pembinaan pusat belia

Saarani (dua dari kiri) menyempurnakan penubuhan Skuad Up2date selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Saarani (dua dari kiri) menyempurnakan penubuhan Skuad Up2date selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak belum menerima permohonan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung tapak cadangan bagi pembinaan Pusat Belia Perak di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, secara dasarnya kerajaan negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan tanah yang sesuai bagi pembangunan Pusat Belia Perak itu nanti.

"Saya pun baharu tahu hari ini (pembinaan Pusat Belia Perak). Insya-ALLAH, kita akan tunggu surat rasmi tawaran daripada kerajaan Pusat melalui Kementerian Belia dan Sukan. Apabila sampai kepada kerajaan negeri sudah tentu kita akan menyambutnya dengan baik.

"Menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk mencari tanah berkaitan. Setakat ini belum ada perbincangan secara rasmi ataupun tidak rasmi. Ia sesuatu yang bagus untuk kegunaan rakyat negeri Perak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.

Hadir sama Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Ruji Ubi; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan exco-exco kerajaan negeri.

Pada 25 April lalu, Ahmad Faizal mengumumkan bahawa kementeriannya telah menyediakan peruntukan RM45 juta bagi membina Pusat Belia Perak di Ipoh.

Beliau berkata, tapak bagi pembinaan Pusat Belia tersebut sudah dikenal pasti di dalam daerah Kinta yang kini memerlukan kelulusan kerajaan negeri malah pihaknya sedang berurusan dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan tanah tersebut agar pembinaannya dapat disegerakan.