X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Usul pinda pemilihan UMNO selepas PRU dijangka tiada halangan

Ahmad Maslan
A
A

PONTIAN - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas pada Ahad ini bagi meminda perlembagaan berhubung pemilihan parti perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dijangka tidak berdepan halangan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, seramai 2,666 perwakilan akan menyokong usul tersebut yang sebelum ini telah diluluskan pada PAU Mac lalu.

"Usul itu sudah diluluskan pada PAU sebelum ini. Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang luluskan usul itu. Oleh itu, tidak ada gambaran usul itu tidak diluluskan perwakilan pada PAU Khas, Ahad ini.

"Jadi saya menjangkakan usul ini akan lulus dengan mudah. Ini kerana perwakilan yang sama bersetuju dengan usul itu akan mengundi semula usul berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, usul berkenaan perlu prosedur Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meskipun sudah dibentang pada PAU Khas yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula jam 1.30 petang.

"Pindaan perlembagaan parti memerlukan perhimpunan agung luar biasa (EGM) dan sebab itulah UMNO adakan PAU Khas, Ahad.

"Notis PAU Khas juga sudah dihantar kepada semua 2,666 perwakilan sejak sebulan yang lalu. Persiapan untuk PAU Khas itu sudah bermula sejak dua minggu sebelum Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata, lebih 2,000 perwakilan sudah mengesahkan kehadiran dan menjangkakan kesemua perwakilan akan hadir.

"Setiap bahagian akan menghantar 14 orang wakil termasuk ketua bahagian. Pada PAU Khas ini juga akan turut berlangsung sambutan Hari Ulang Tahun UMNO dan sambutan hari raya.

"PAU Khas bermula pada jam 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang sebelum diikuti sambutan Hari UMNO dan sambutan hari raya parti," katanya.

Sabtu lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan akan membentangkan usul pindaan perlembagaan berhubung pemilihan parti akan diadakan selepas PRU berlangsung.

Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 17 Mac lalu, mencadangkan agar perlembagaan berhubung pemilihan parti itu dipinda.

Katanya, pemilihan parti seharusnya diadakan hanya selepas setiap kali PRU bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!