Pemajak di Terengganu rayu kaji semula harga telur penyu

Nilai baharu iaitu RM1.50 bagi sebiji telur penyu dikatakan terlalu rendah berbanding RM3 sebelum ini. Gambar hiasan
Nilai baharu iaitu RM1.50 bagi sebiji telur penyu dikatakan terlalu rendah berbanding RM3 sebelum ini. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemajak telur penyu di Terengganu berharap supaya kerajaan negeri mengkaji semula harga belian telur eksotik itu kerana nilai baharu iaitu RM1.50 sebiji dikatakan terlalu rendah berbanding RM3 sebelum ini.

Pemajak mendakwa harga baharu itu tidak 'masuk akal' dan tidak setimpal dengan kos yang perlu dikeluarkan untuk mencari telur penyu di kawasan pantai pendaratan penyu yang telah dipajak.

Pemajak telur penyu di pantai Kerteh, Shaifuddin Muhammad, 47, berkata Enakmen Penyu 1951 yang dipinda pada November tahun lepas melarang mereka untuk menjual telur penyu selain kepada Jabatan Perikanan bermula 1 Jun ini.

"Dulu, kita bebas jual kepada sesiapa yang berminat dengan harga lebih mahal antara RM4 dan RM5 untuk sebiji telur...pendaratan ibu penyu pun tidak semeriah dulu, saya hanya menjumpai dua sarang setakat ini berbanding 46 sarang tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Shaifuddin yang menjadi pemajak telur penyu sejak lapan tahun lepas berkata, pada musim bertelur antara April hingga September, setiap ibu penyu akan menghasilkan antara 80 hingga 100 biji telur di setiap sarang.

"Kebanyakan pantai yang merekodkan pendaratan tinggi (500 hingga 800 sarang) kini berada di bawah seliaan Jabatan Perikanan, manakala pantai yang dipajak individu persendirian seperti saya merekodkan purata 60 hingga 80 sarang untuk satu musim bertelur," katanya yang mengupah tiga pekerja dengan bayaran RM1,000 seorang setiap bulan untuk mencari telur penyu di kawasan pantai.

Muhammad Awang, 60, yang merupakan pemajak di Pantai Dungun pula berkata, harga yang ditetapkan itu seolah-olah 'mematikan' motivasi mereka untuk sama-sama berjuang membantu usaha konservasi penyu di Terengganu.

"Kita akur untuk jual kepada Jabatan Perikanan sahaja tapi biarlah harganya berpadanan dengan usaha dan pelbagai kos yang kami keluarkan...kami juga mahu membantu mengembalikan era kegemilangan penyu di Terengganu," katanya.

Pemajak telur penyu di Kemaman, Roslan Muhammad, 54, berharap kerajaan akan membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana syarikat korporat yang berminat dengan program konservasi penyu membeli telur daripada mereka dengan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan Jabatan Perikanan.

"Banyak NGO dan syarikat korporat yang berminat mahu membeli telur daripada pemajak kerana tujuan mereka juga adalah sama iaitu konservasi haiwan terancam sebagai tanggungjawab sosial," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya akan membincangkan mekanisme terbaik untuk penyelesaian 'menang-menang' berhubung isu itu.

"Harga yang dimuktamadkan nanti akan mengambil kira beban kewangan kerajaan negeri dan dalam masa sama golongan pemajak telur penyu tidak akan teraniaya," katanya. - Bernama