Sukan SEA: Hamidin puji semangat juang pemain

Hamidin
Hamidin
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin memuji semangat juang tinggi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ketika bangkit menewaskan Thailand 2-1 pada saingan Kumpulan B acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31, Sabtu lepas.

Hamidin melihat keazaman serta sikap tidak mudah mengalah barisan pemain negara pada pertembungan di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, Vietnam itu sebagai kunci kejayaan skuad bimbingan Brad Maloney mencipta kemenangan di saat akhir.

"Inilah bola sepak kejayaan itu boleh datang di saat akhir, semacam JDT (Johor Darul Ta’zim) juga, di saat akhir mereka dapat gol dan cipta kejayaan (saingan Liga Juara-Juara AFC).

"Ini (sikap tidak mudah mengalah) sesuatu yang baik untuk bola sepak negara dan kita harapkan terus sokongan daripada peminat walaupin kita tahu ada kelemahan sana sini, tetapi kita nak negara kita berjaya,” katanya.

Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata demikian ketika ditemui pada saingan final acara terjun membabitkan atlet negara di Pusat Akuatik My Dinh, di sini semalam.

Beliau turut diberi penghormatan untuk menyampaikan pingat kepada pemenang yang menyaksikan atlet terjun wanita Nur Dhabitah Sabri dan gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang masing-masing merangkul pingat emas acara 1 meter (m) papan anjal wanita dan 3m papan anjal seirama lelaki.

Mengulas lanjut, Hamidin berharap pasukan negara dapat mengekalkan momentum cemerlang ketika berdepan Thailand dalam menamatkan baki saingan kumpulan bertemu Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).

"Sudah tentu kita dan saya sendiri mengidamkan kejayaan lebih besar di Sukan SEA kali ini tetapi kita perlu lihat pertandingan ini panjang lagi, ada tiga perlawanan mustahak untuk kita layak ke separuh akhir,” katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019. - Bernama