Pastikan guru pikul tugas warden tak terbeban

JKPPH mendakwa ramai guru mengeluh kerana bebanan termasuk menjadi warden sehingga menjejaskan tumpuan untuk mendidik. Gambar hiasan/Bernama
JKPPH mendakwa ramai guru mengeluh kerana bebanan termasuk menjadi warden sehingga menjejaskan tumpuan untuk mendidik. Gambar hiasan/Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mengumumkan langkah bagi memastikan guru yang memikul tugas warden tidak terbeban kerana pada hujung minggu ini proses kemasukan pelajar berasrama penuh akan berlangsung.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) dalam satu kenyataan turut mendakwa, ramai guru masih mengeluh berkaitan bebanan tugas yang banyak termasuk menjadi warden sehingga menjejaskan tumpuan untuk mendidik.

"JKPPH mengambil maklum keluhan guru yang terbeban sebagai warden dan usaha awal KPM untuk mengatasi masalah ini.

"Namun, sehingga kini masih belum ada keputusan yang jelas berkaitan tindakan KPM untuk menyelesaikan masalah tersebut," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail; Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

JKPPH turut mencadangkan beberapa perkara antaranya jawatan warden sepenuh masa di asrama dilantik oleh bukan guru dan kedudukannya sama dengan jawatan jurulatih sepenuh masa, kaunselor berdaftar dan pembantu makmal.

"Guru warden pula boleh dilantik dalam kalangan guru akademik yang bertugas memimpin dan memantau warden sepenuh masa di asrama.

"Jumlah warden dengan nisbah jumlah pelajar mestilah realistik dan mencukupi dan dalam masa terdekat, tindakan awal dan wajar KPM ialah menaikkan elaun warden kepada guru yang memikul tugas tersebut," kata kenyataan itu.

JKPPH juga mendesak KPM bertindak segera bagi memastikan bebanan guru dikurangkan secepat mungkin.