Profesor Dr Ruzairi dilantik Naib Cancelor UTHM

Profesor Dr Ruzairi
Profesor Dr Ruzairi
A
A
A

BATU PAHAT - Profesor Dr Ruzairi Abdul Rahim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkuat kuasa hari ini (Isnin).

Dalam satu kenyataan di sini, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM memaklumkan pelantikan yang dibuat Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad itu, adalah untuk tempoh tiga tahun hingga 8 Mei 2025.

Pelantikan Ruzairi, 55, itu bagi mengisi jawatan Naib Canselor UTHM yang sebelum ini disandang oleh Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly yang telah tamat tempoh lantikannya.

"Sebelum ini, beliau (Ruzairi) merupakan seorang profesor dalam bidang Kejuruteraan Elektronik Instrumentasi dan berkhidmat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan.

"Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Disember 2016 hingga 30 November 2019,” menurut kenyataan itu, pada Isnin.

Menurut UTHM, Ruzairi merupakan lulusan Doktor Falsafah (PhD) dari Sheffield Hallam University, United Kingdom dan mempunyai kepakaran dalam bidang Process Tomography & Sensor Technology sehingga pernah dinobatkan sebagai Top Research Scientist Malaysia 2013 oleh Akademi Sains Malaysia.

Beliau yang dibesarkan dan bersekolah di Johor, memulakan kerjayanya di UTM pada 1998.

Sepanjang tempoh itu, beliau pernah meraih sebanyak 45 anugerah kecemerlangan di peringkat universiti dan juga antarabangsa, selain aktif dalam bidang penerbitan termasuk penulisan buku dan jurnal serta telah menyelia lebih 30 pelajar PhD dan juga projek penyelidikan.

"UTHM berharap dengan pengalaman luas yang ada pada Prof Ruzairi mampu melonjakkan universiti ini sebagai Global Technopreneur University menjelang 2030,” menurut UTHM. - Bernama