Dana tambahan RM15 juta kenal pasti, pantau varian SARS-CoV-2

Dr Adham
Dr Adham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meluluskan dana tambahan sebanyak RM15 juta di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi membiayai projek genomic surveillance virus SARS-CoV-2.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, projek yang memasuki fasa 3 itu amat penting dan strategik bagi mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 di negara ini terutama Omicron dan Delta.

Menurutnya, sebanyak konsortium 11 makmal yang diselaraskan oleh Institut Genom dan Vaksin Malaysia-Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (MGVI-NIBM) menyasarkan untuk penjujukan 15,000 tambahan genom virus itu.

“Sehingga 27 April 2022, sejumlah 15,565 sampel telah dijujuk, dianalisis dan maklumat genom virus SARS-CoV-2 berkenaan telah dimuat naik ke pangkalan data Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data (GISAID).

“Taburan varian-varian utama virus SARS-CoV-2 di Malaysia adalah 7,245 sampel atau 46.55 peratus dikenal pasti sebagai varian Delta; 6,374 sampel (40.95 peratus) Omicron; 283 sampel (1.82 peratus) Beta dan 33 sampel (0.21 peratus) Alpha.

“Sampel-sampel ini dipilih oleh pihak KKM dan diambil dari semua negeri di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, maklumat berkenaan SARS-CoV-2 penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus bagi mengawal dan membendung penularan varian tersebut.

Menurutnya, apabila virus SARS-CoV-2 bermutasi, varian baharu yang muncul mungkin mempunyai keupayaan yang berbeza termasuk dari segi kebolehjangkitan, keterukan gejala, ketepatan ujian diagnostik dan keberkesanan vaksin serta terapeutik.