Presiden Syria adakan pertemuan dengan Ayatollah Ali Khamenei

Bashar al Assad. Foto AFP
Bashar al Assad. Foto AFP
A
A
A

TEHRAN - Presiden Syria Bashar al Assad bertemu Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei semasa lawatan seharinya ke Tehran pada Ahad, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik media tempatan.

Kunjungan itu adalah lawatan rasmi kedua Assad ke Iran sejak perang saudara Syria meletus pada 2011. Kali terakhir beliau melawat Iran adalah pada Februari 2019.

Turut hadir pada pertemuan itu Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian.

Dalam satu kenyataan Khamenei berkata "kredibiliti" Syria kini "lebih hebat berbanding dulu" dan dilihat sebagai negara yang mempunyai "kuasa".

Iran adalah sekutu serantau terkuat Assad dan telah membantu rejimnya semasa konflik Syria.

Khamenei, turut merujuk peranan dimainkan bekas ketua Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Jeneral Qassem Soleimani, dalam perang Syria yang menjadikan hubungan antara Damsyik dan Tehran bertambah kukuh.

Terdahulu, Assad turut mengadakan pertemuan dengan Raisi yang antara lain membincangkan mengenai hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi.

Raisi berkata, Iran "serius" untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan Syria. - Bernama