Raja Salman berehat di hospital setelah jalani ujian perubatan

Raja Salman _ Foto: AFP
Raja Salman _ Foto: AFP
A
A
A

RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz masih dirawat di sebuah hospital di Jeddah selepas menjalani ujian perubatan kolonoskopi, lapor media kerajaan pada Ahad.

Beliau yang berusia 86 tahun dan telah memerintah negara pengeksport minyak terkemuka dunia sejak tahun 2015 itu dimasukkan ke hospital pada Sabtu lalu.

Raja Salman menjalani ujian itu pada tengah hari Ahad di Hospital Pakar Raja Faisal dan dilaporkan akan berada di hospital tersebut selama beberapa hari untuk berehat atas nasihat pasukan perubatannya.

Ujian yang dilakukan itu berkaitan dengan sistem usus Raja Salman dan doktor yang merawat memaklumkan keputusannya menunjukkan hasil yang baik.

Pada Mac lalu, Raja Salman dimasukkan ke sebuah hospital di Riyadh untuk menukar bateri perentak jantungnya. - Agensi