Ringgit rendah berbanding dolar AS pada awal dagangan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding dolar AS pada awal dagangan, pada Isnin di tengah-tengah permintaan kukuh terhadap dolar AS, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3745/3780 berbanding dolar AS daripada 4.3650/3680 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) telah kekal melebihi 103 mata berikutan data ekonomi di Amerika Syarikat (AS) yang tetap kukuh.

"Data gaji bukan perladangan terkini berjumlah 428,000 pada April 2022 adalah lebih tinggi berbanding anggaran konsensus 380,000, manakala kadar pengangguran kekal pada 3.6 peratus untuk dua bulan berturut-turut.

"Sehubungan itu, Rizab Persekutuan AS (Fed) akan kekal dengan kecenderungan menaikkan kadar faedah bagi pendirian monetari mereka dalam masa terdekat yang kemudiannya akan menyokong nilai dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata bagi minggu ini, seluruh perhatian akan tertumpu kepada keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR) pada 11 Mei.

"Kami menjangka BNM mengekalkan penanda aras kadar faedahnya memandangkan risiko aliran penurunan terhadap pertumbuhan kekal ketara, manakala kadar inflasi masih agak terkawal,” katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata hasil AS boleh digunakan sebagai dasar memerangi inflasi Fed sekiranya Indeks Harga Pengguna AS adalah lebih rendah daripada jangkaan.

"Dolar AS boleh mengukuh kerana ia membayangkan Fed perlu menaikkan kadar dana Fed lebih cepat untuk mengawal inflasi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata hala tuju perjalanan ringgit akan bergantung kepada keadaan yang berlaku di China akibat kawalan pergerakan dan dasar Covid-19.

"Kawalan pergerakan yang berpanjangan di China boleh menjejaskan ringgit susulan kelemahan yuan,” tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1473/1501 daripada 3.1523/1549 sewaktu ditutup pada Jumaat dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3819/3863 daripada 5.3868/3905.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3447/3476 daripada 3.3453/3479 dan menokok berbanding euro kepada 4.6002/6039 daripada 4.6138/6170. - Bernama