Sila log masuk terlebih dahulu.

Anjing liar resahkan penduduk Taman Pinggiran Delima

Penduduk di Taman Pinggiran Delima di sini resah berikutan kemunculan anjing liar sejak beberapa bulan lalu di kawasan perumahan mereka
Penduduk di Taman Pinggiran Delima di sini resah berikutan kemunculan anjing liar sejak beberapa bulan lalu di kawasan perumahan mereka
A
A
A

HULU LANGAT - Penduduk di Taman Pinggiran Delima di sini resah berikutan kemunculan anjing liar sejak beberapa bulan lalu di kawasan perumahan mereka.

Keresahan itu memuncak susulan beberapa kejadian penduduk dikejar binatang itu walaupun belum ada kes digigit anjing dilaporkan di taman itu setakat ini.

Penduduk, Norizan Musa, 53, berkata, mereka turut khuatir jika ada di antara anjing-anjing liar berkenaan yang dijangkiti dengan virus anjing gila (rabies).

"Penduduk khuatir kerana penyakit berkenaan boleh membawa kematian dan mahu pihak berkuasa tempatan bertindak sebelum perkara buruk berlaku," katanya.

Seorang lagi penduduk, Aisyah Abdul Rahman, 36, berkata, kanak-kanak juga terdedah dengan ancaman haiwan liar berkenaan.

"Kadang-kadang apabila berjalan di luar kawasan rumah, anjing liar ini akan ikut kita.

"Keadaan ini membahayakan kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Abdullah Yacob, 55, berkata, penduduk tidak mahu apabila berlaku kejadian tidak diingini, baru tindakan diambil dan ia mungkin sudah terlambat.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan anjing ini berkeliaran di bahagian belakang kedai dan kawasan longgokan sampah dan menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat tidur,” katanya

Seorang lagi peniaga, Habibah Ismail, 51, berkata, kumpulan anjing liar itu juga sering berada di kawasan lapang dan tempat tumpuan.

"Keadaan ini amat membimbangkan penduduk jika binatang itu bertindak ganas secara tiba-tiba," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) pada 10 April lalu memaklumkan terdapat satu kes kematian membabitkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan rabies pada 4 April.

Pada 22 April, satu lagi kes jangkitan rabies dikesan di Selangor membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun di daerah Kuala Langat.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dilaporkan berkata, ia menjadikan dua kes jangkitan rabies di negeri berkenaan setakat ini.