Debat bantu calon perluas agenda kepada ahli

Sivamurugan
Sivamurugan
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran debat membabitkan calon-calon yang bertanding beberapa jawatan penting dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini amat relevan bagi memperluaskan lagi pendedahan agenda mahu dibawa oleh pimpinan parti kepada ahlinya.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, pemilihan PKR merupakan satu acara politik yang unik kerana ia merangkumi penglibatan jumlah keahlian yang besar.

“Pemilihan ini melibatkan jumlah yang besar, jadi nak sampaikan maklumat kepada semua kelompok itu bukan kerja mudah.

“Oleh itu, acara debat sebegini akan membolehkan calon mendekati kesemua pihak yang terbabit. Malahan medium ini membolehkan mereka mendekati kumpulan yang tidak dapat mereka jumpa semuka disebabkan oleh antaranya kekangan masa, tenaga dan kos.

“Jadi sekurang-kurangnya melalui perdebatan ini, pemilih tahu apakah acuan mahu dibawa oleh calon pada masa depan dan juga agenda serta misi mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Program ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ anjuran Sinar Harian pada Khamis ini bakal menyaksikan kehadiran dua calon yang akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli.

Selain itu, dua calon yang bakal merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) iaitu Adam Adli dan Fahmi Zainol akan turut tampil dalam acara debat yang dianjurkan oleh Awani pada Selasa ini.

Sivamurugan berkata, acara debat itu juga dilihat sinonim dengan imej PKR yang dilihat sebagai sebuah parti yang meraikan pertembungan pendapat dan pandangan serta perbincangan terbuka.

“Jadi, saya rasa jika jawatan Timbalan Presiden boleh diadakan perdebatan, maka jawatan lain khususnya jawatan penting lain seperti Naib Presiden pun boleh diadakan perdebatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, dengan mengambil kira peningkatan kecelikan politik yang semakin baik, sudah sampai masanya untuk masyarakat mula didedahkan dengan perdebatan politik yang rasional dan beretika.

Katanya, melalui acara tersebut, masyarakat terutamanya generasi baharu dapat memahami pencapaian dan perjalanan sesebuah parti politik di dalam negara dan sekali gus mengelakkan berlakunya kelesuan politik yang berupaya menjejaskan amalan demokrasi di negara ini.

Sivamurugan bagaimanapun mengakui debat berkemungkinan tidak akan dipersetujui oleh sesetengah pihak kerana ia berupaya untuk menjatuhkan imej seseorang calon yang tidak memiliki kemahiran yang diperlukan.

“Sesetengah calon mungkin gerak kerja dia itu baik tapi mungkin dia bukan seorang pemidato yang baik. Sebab itu dalam sesetengah keadaan, perdebatan ini boleh menjerat calon.

“Tetapi kalau calon itu benar-benar bersedia dengan fakta, isu dan juga berwibawa, saya rasa tidak perlu bimbang apa yang mahu disampaikan,” katanya.