Yilamaran azam tebus pingat emas di Tokyo 2025

Yilamaran
Yilamaran
A
A
A

BARU sahaja mengharumkan nama negara dengan pingat perak di Sukan Deaflympic Caxias do Sul 2022, Brazil, atlet karate pekak negara, V Yilamaran sudah memasang impian untuk memburu pingat emas pula di temasya sama yang dijadualkan berlangsung di Tokyo, Jepun pada 2025.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata sasaran tersebut adalah bagi menebus kekecewaannya selepas terlepas peluang meraih pingat emas apabila tewas di tangan atlet Ukraine, Makhno Oleksanr pada aksi akhir acara kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) baru-baru ini.

"Saya cuba bersaing untuk menentang atlet Ukraine itu tetapi tidak berjaya. Bagaimanapun saya tidak berputus asa dan akan cuba mendapatkan emas di Tokyo nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Pada temasya Sukan Deaflympic 2022, Yilamaran berjaya menghadiahkan pingat perak menerusi acara kumite lelaki bawah 84 kg selepas tumpas kepada Makhno Oleksanr dari Ukraine pada aksi final, awal pagi Selasa lepas.

Terdahulu, atlet kelahiran Johor itu selamat tiba di KLIA bersama jurulatih Chok Kong Yu serta pengurus pasukan Chan Kok Sheng pada 2.54 petang dari Brazil dan disambut Penasihat Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Datuk Naim Mohamad.

Sementara itu, Naim berkata, beliau mengharapkan Yilamaran meneruskan semangatnya untuk menghadiahkan kilauan pingat emas kepada negara pada Sukan Deaflympic di Tokyo.

Beliau dalam masa sama mengharapkan kejayaan yang diraih atlet karate pekak negara itu dapat memberi galakan kepada pelbagai pihak untuk tampil menghulurkan bantuan sekali gus membantu golongan seperti Yilamaran untuk terus meningkatkan prestasi di masa akan datang. - Bernama